Kegembiraan untuk berkongsi sesuatu memberikan inspirasi kepada pemilik butik tudung Hijabs by Hanami,Siti Zaleha binti Hamzah untuk menceburi bidang perniagaan sejak 7 tahun lalu.
Menurut Siti Zaleha, beliau mula berminat untuk berniaga selepas sukar mencari tudung atau selendang yang labuh serta tebal untuk dipakai, maka beliau mengambil inisiatif untuk membuat tudung sendiri dan usahanya itu mendapat pujian rakan-rakan sekerja.
“Saya membeli sendiri kain dan memotongnya untuk dijadikan tudung. Waktu itu, saya pakai ketika bekerja dan ramai yang bertanya mengenai rekaan tudung saya itu.
“Disebabkan ingin berkongsi benda yang kita minat, bermodalkan RM600 ketika itu, saya membeli 13 helai kain tudung, membuat penggambaran sendiri dan muat naik ke Facebook. Syukur, semua 13 helai itu terjual,” kata Siti Zaleha.
Menyoroti kembali sejarah penubuhan HijabsbyHanami, ia ditubuhkan pada 2014 atas nama Hanami Empire Sdn Bhd. Menariknya nama Hanami itu diambil daripada nama anak sulung kepada Siti Zaleha, yang bermaksud ‘bunga sakura yang cantik’.
Tambah Siti Zaleha, pernah satu ketika, beliau menghabiskan duit gajinya semata-mata mahu membeli kain tudung dan dari situ, wanita tersebut membuka Facebook Pages untuk menjadikan bisnes menjual tudung sebagai pendapatan sampingannya.
Beliau sanggup berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bekalan kain. Malah beliau pernah tidak tidur sehingga pukul 4 pagi semata-mata untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
Bagaimanapun, segala usahanya berbaloi apabila permintaan tudungnya makin hari makin membuahkan hasil dan membuatkan beliau lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada para pelanggannya.
Pada tahun 2015, berbekalkan modal yang diperoleh menerusi jualan tudungnya, Siti Zaleha dapat membuka butiknya sendiri.
Menyentuh mengenai cabaran yang perlu dilalui oleh beliau sepanjang menguruskan perniagaan, Siti Zaleha berkata beliau bermula dari kosong, tanpa sebarang ilmu pengurusan, kewangan dan perniagaan. Jelas Siti Zaleha, beliau bukanlah seorang yang berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang asas perniagaan.
Menurutnya lagi, beliau memutuskan untuk menghadiri beberapa kelas-kelas berkaitan pengurusan syarikat selama beberapa bulan untuk mempelajar selok-belok pengurusan syarikat terutamanya soal pembayaran gaji dan menguruskan kakitangan.
“Saya rasa ilmu tu penting dalam bisnes tapi ada yang benda yang kita tidak belajar dalam kelas perlu kita hadap. Kita kena cuba selesaikan masalah yang datang itu sebenarnya,” katanya dalam temuramah bersama Intraday baru-baru ini.
Ujar Siti Zaleha, salah satu cabaran paling getir bagi diri beliau adalah apabila mempunyai pesaing terutamanya apabila pesaingnya meniru produk Hijabs by Hanami.
“Cabarannya di situ adalah macam mana kita nak hadapi dari segi pemasaran dan emosi apabila ada orang lain dah mula meniru barangan kita. Ramai pelanggan bertanya mengapa produk itu sama dengan produk pesaing. Ambil cabaran itu secara positif.
” Apabila ada pesaing yang dah tiru barangan kita, maknanya kita ini sudah berada di tahap yang lain, jadi apabila kita sudah berada di tahap yang lain, maka kita perlu kukuhkan jenama kita itu. Mungkin saya perlu perbetulkan dari segi pemasaran dan sebagainya. Kita tidak boleh biarkan cabaran itu melemahkan kita,” jelasnya lagi.
Menurut Siti Zaleha, beliau pernah melalui zaman kejatuhan apabila hasil jualannya hanya mampu mencecah ratusan helai sahaja selama 8 bulan.
“Saya banyak belajar masa itu, banyak muhasabah diri. Saya banyak betulkan apa yang kurang, betulkan cara kepimpinan, betulkan hubungan saya dengan Allah, keluarga dan rakan-rakan. Saya senaraikan semua kelemahan saya dan tambah apa yang kurang. Kita ini perlu mengaku apa kelemahan kita dan betulkan kelemahan itu,” ujar Siti Zaleha.
Tambahnya, tulang belakang utama kepada kejayaan beliau adalah suami, keluarga, rakan-rakan, kakitangannya dan paling penting adalah para pelanggan Hijabs by Hanami.
“Suami saya banyak menyokong saya dari segi pembuatan laman web, sistem dan sebagainya. Kesemua ahli keluarga saya pula menjadi ejen Hijabs by Hanami. Kawan-kawan saya banyak membantu saya, mereka membeli produk saya secara senyap-senyap.
“Kakitangan saya turut faham apa yang disasarkan oleh syarikat ini dalam tempoh 5,10 atau 20 akan datang. Mereka faham misi dan visi syarikat. Yang terakhir adalah para pelanggan, tanpa mereka, siapalah Hijabs by Hanami,” tutur Siti Zaleha.
Berbicara mengenai konsep perniagaan beliau, Siti Zaleha berkata beliau amat menitikberatkan soal patuh syariah dalam semua produknya selain mengutamakan keselesaan kepada si pemakai tudung.
“Selain itu, kami juga menjaga kualiti bahan dan turut menyediakan pelbagai corak tudung pada setiap minggu. Setakat ini, kami mempunyai 60 koleksi dan 800 warna tudung,” katanya.
Tambah Siti Zaleha, Hijabs by Hanami kini mempunyai lebih 1,500 ejen berdaftar di seluruh Malaysia dan kesemua ejen dibantu dari segi pemasaran serta penjenamaan selain turut disediakan kelas bagi membantu mereka memasarkan produk.
“Kami menggunakan sistem ejen untuk mengembangkan bisnes. Di samping itu, kami juga memberi peluang perniagaan kepada orang ramai di luar sana,” ujar Siti Zaleha.
Selain sistem ejen, Hijabs by Hanami juga menggunakan kesemua platform digital untuk memasarkan produk seperti Facebook, Instagram dan YouTube.
“Kepada orang ramai di luar sana yang mahu berbisnes, jangan takut untuk bermula dan apabila bermula, fokus dan yakin pada diri sendiri. Kita perlu yakin akan berjaya.
“Jadikan cabaran itu sebagai batu loncatan dan hadapi cabaran itu secara positif, jangan mudah mengalah. Allah itu nak bagi sesuatu yang lebih besar kepada kita. Orang yang jatuh itu biasa tetapi mereka yang bangun selepas jatuh itu sangat luar biasa. Paling penting, jangan jauhkan diri dengan Allah, rajin bersedekah,” katanya sebelum mengakhiri temuramah bersama kami.