Harga minyak melanjutkan penurunannya pada hari Isnin di tengah-tengah tanda permintaan bahan api yang lemah dan didorong oleh pegawai Federal Reserve (Fed) berkenaan harapan pemotongan kadar faedah yang semakin lemah.
Perkara ini mampu memperlahankan pertumbuhan dan mengehadkan penggunaan tenaga dalam ekonomi terbesar dunia itu.
Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah Brent susut 7 sen (0.1%) kepada $82.72 per tong dan minyak mentah West Texas Intermediate AS (WTI) turun 5 sen kepada $78.21 per tong.
Menurut pendapat Tina Teng, penganalisis bebas berkata pasaran minyak mengetepikan kesan konflik Timur Tengah dan beralih kepada prospek ekonomi dunia sekali lagi.
Sebelum ini, Indeks Harga Pengeluar China (PPI) untuk April menguncup menunjukkan permintaan perniagaan kekal lembap dan data ekonomi baru-baru ini di AS juga menandakan penurunan.
Kedua-dua penanda aras itu kehilangan $1 pada hari Jumaat ketika pegawai Fed masih membahaskan sama ada kadar faedah AS cukup tinggi untuk membawa inflasi kembali kepada 2% bagi mengimbangi keuntungan awal minggu lalu berikutan kebimbangan gangguan bekalan akibat konflik Israel-Gaza.
Walau bagaimanapun, pasaran minyak mentah kekal disokong oleh jangkaan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) melanjutkan pemotongan bekalan pada separuh kedua tahun ini.
Iraq, pengeluar OPEC kedua terbesar komited terhadap pengurangan minyak secara sukarela dan berminat untuk bekerjasama dengan negara anggota dalam usaha mencapai lebih kestabilan dalam pasaran minyak global.
Pada awal bulan Mei, OPEC+ melaporkan Iraq mengepam pengeluarannya sebanyak 602,000 tong sehari dalam tiga bulan pertama 2024. Kumpulan itu berkata bahawa negara itu telah bersetuju untuk membayar pampasan dengan pengurangan pengeluaran tambahan sepanjang tahun ini.
Di AS, kiraan pelantar minyak kehilangan tiga kepada 496 sahaja pada minggu lepas. Ia catatan terendah sejak November lepas.