India Bakal Jadi ‘Raksasa’ Kalahkan Jepun & Jerman

215

Sebut sahaja Bollywood, perkara pertama muncul dalam fikiran adalah negara India yang terkenal dengan filem dan lagu-lagu hindi yang tak mati ditelan zaman.

Namun, jangan tak tahu sebenarnya India juga antara salah satu gergasi ekonomi yang berada pada kedudukan keenam dalam carta ekonomi terbesar dunia, menurut World Data.

Bagaimanapun, ranking India dijangka akan meningkat pada tahun 2030 sekali gus mencatas kedudukan UK, Jerman dan Jepun untuk menjadi ekonomi ketiga gergasi dunia.

S&P Global meramalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal tahunan India akan berpurata 6.3% hingga 2030.

Unjuran ini adalah berdasarkan pembaharuan struktur yang berterusan, termasuk liberalisasi perdagangan dan kewangan, infrastruktur dan pelaburan modal insan serta penambahbaikan pasaran buruh.

Selari dengan unjuran tersebut, Morgan Stanley turut menjangkakan KDNK negara itu akan berkembang lebih dua kali ganda daripada tahap semasa menjelang 2031.

India mencatatkan pertumbuhan tahunan lebih kukuh pada suku ketiga dengan catatan 6.3%, dan 13.5% pada suku kedua yang dipacu oleh permintaan domestik yang kuat.

Rentetan daripada sekatan ekonomi Amerika Syarikat ke atas China, India telah memperoleh manfaat sebagai alternatif lain buat syarikat-syarikat AS melabur.

Contoh terdekat dapat dilihat adalah Apple yang sebelum ini hanya memasang iPhone SE di India, telah memberi kuasa kepada kilang Foxconn di negara itu untuk memasarkan peranti terkini, iaitu iPhone 14.

Berikutan penutupan Covid-19 yang bersilih ganti di China kini, tidak mustahil sekiranya India merampas peranan Beijing untuk menjadi kilang utama peranti terkemuka dunia itu.

Malah, Rusia juga mengalihkan tumpuan kepada India sebagai pengimport terbesar minyaknya setelah disekat oleh AS, Eropah dan sekutu global yang lain.

Sungguhpun begitu, ‘jalan’ untuk India menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia tidak mudah memandangkan risiko kemelesetan global yang berpanjangan boleh merencatkan usaha tersebut.

Menurut pandangan pembaca, adakah India berpotensi berkembang lebih besar untuk menduduki tempat ketiga dalam carta ekonomi teratas dunia?

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat