Individu Ini Rampas Tempat Jack Ma!

1,932

Asia kini mempunyai manusia terkaya baharu di rantau ini selepas individu yang disebutkan ini berjaya meraih keuntungan berlipat kali ganda menerusi firma penghasilan vaksin dan botol airnya.

Individu terbabit, Zhong Shanshan mengumpul kekayaannya sebanyak AS$7 bilion pada tahun ini, sekali gus membantunya mengatasi hartawan India, Mukesh Ambani dan pengasas Alibaba iaitu Jack Ma.

Menurut Bloomberg Billionaires Index, jumlah harta keseluruhan milik Shanshan bernilai AS$77.8 bilion, menjadikan beliau sebagai lelaki ke-11 terkaya di dunia.

Shanshan yang dikenali sebagai ‘Lone Wolf’ itu pernah menceburi bidang kewartawanan, penanaman cendawan dan penjagaan kesihatan.

Shanshan menyenaraikan syarikat penghasilan vaksinnya iaitu Beijing Wantai Biological di pasaran saham China pada April lalu. Tiga bulan selepas itu, beliau melakukan langkah serupa terhadap syarikat botol airnya, Nongfu Spring di pasaran saham Hong Kong.

Langkah tersebut membolehkan beliau mengatasi Jack Ma sebagai lelaki terkaya di Asia dan China.

Sejak itu, Nongfu Spring telah menjadi salah satu kaunter yang paling untung dan menyaksikan sahamnya melonjak sebanyak 155% sejak kemunculan pertamanya di pasaran saham Hong Kong.

Sementara itu, saham Beijing Wantai Biological meningkat lebih daripada 2000% dan menjadi salah satu syarikat yang menghasilkan vaksin Covid-19.

Peningkatan yang dramatik ini melonjakkan Shanshan ke tempat pertama dalam senarai lelaki terkaya di Asia dan salah satu daripada individu yang memperoleh kekayaan terkumpul paling cepat dalam sejarah.

Dalam pada itu, kekayaan Jack Ma menurun daripada AS$61.7 bilion kepada AS$51.2 bilion selepas empayar Alibaba berdepan tindakan daripada pihak berkuasa China.

Alibaba disiasat berhubung dakwaan langkah monopoli yang dilaksanakan manakala penyenaraian anak syarikatnya, Ant Group di pasaran saham disekat pada November.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat