Industri Sarung Tangan Malaysia Telah Melahirkan Beberapa ‘Billionaire’

1,668

Tahun ini telah menjadi tahun yang cemerlang bagi syarikat sarung tangan dan pengasasnya.

Malaysia sebagai negara pengeluar terbesar yang menghasilkan sekitar 65% bekalan sarung tangan getah dunia, kini telah melahirkan sekurang-kurangnya empat billionaire yang kekayaannya dihasilkan dalam industri ini, termasuk dua baru-baru ini. Datuk Seri Stanley Thai Kim Sim dari Supermax Corp adalah yang terbaru dimasukkan ke dalam senarai ini, dengan kekayaan bersih dianggarkan sekitar USD1 bilion berdasarkan harga saham awal bulan ini, menurut Bloomberg Billionaires Index.

Kenaikan permintaan yang mendadak akibat wabak coronavirus telah melonjakkan saham syarikat pembuat alat pelindung, seterusnya menjadikan negara Malaysia menjadi perhatian dalam melahirkan individu yang sangat kaya di dalam sektor ini. Top Glove Corp, pembuat produk sarung tangan terbesar di dunia, Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd semuanya mendapat manfaat dan keuntungan berlipat ganda. Tetapi peningkatan nilai saham sebanyak 5 kali ganda pada tahun ini telah menyebabkan Supermax yang paling mencuri tumpuan.

“Sudah menjadi norma baru untuk memakai sarung tangan bagi pelbagai tujuan, termasuk perubatan dan runcit, dan penggunaan yang tinggi akan menguntungkan pembuatnya dalam jangka masa panjang,” kata Walter Aw, seorang penganalisis CGS-CIMB Research. “Supermax adalah yang paling mencuri tumpuan. Kerana mereka menghasilkan jenama sendiri, sementara yang lain hanya sebagai pembekal. ”

Datuk Seri Thai menubuhkan Supermax bersama isterinya pada tahun 1987, dengan memulakannya sebagai perniagaan menjual sarung tangan getah sebelum menceburkan diri dalam pembuatan pada tahun 1989. Ia menjadi pengeluar pertama yang muncul dengan label sarung tangannya sendiri, Supermax, sebagai respon kepada saranan kerajaan untuk menaikkan jenama produk Malaysia . Menurut laman web syarikat itu, mereka kini mengeksport ke lebih dari 160 negara dan menguasai 12% pasaran global untuk sarung tangan pemeriksaan lateks.

Datuk Seri Thai dan ahli keluarganya didakwa memiliki 38% saham Supermax, menurut sebuah laporan. Namun begitu beliau enggan mengulas kesahihan laporan ini.

Sama seperti pemeriksaan suhu dan jarak sosial, pemakaian alat pelindung (PPE) telah menjadi kebiasaan dengan wabak coronavirus yang telah membunuh lebih dari 439,000 orang di seluruh dunia. Permintaan global untuk sarung tangan getah boleh meningkat 11% hingga 330 bilion pasang pada tahun ini, dua pertiga daripadanya dibekalkan dari Malaysia, menurut kiraan yang dilakukan oleh persatuan pengeluar sarung tangan getah negara ini.

Gergasi Sarung Tangan

Negara Malaysia menjadi gergasi pengeluar sarung tangan pada tahun 1980-an, ketika permintaan mulai meningkat terhadap ancaman wabak AIDS. Perkembangan perladangan pokok getah di negara ini juga menjadi faktor utama selepas penjajah Inggeris memperkenalkan tanaman yang berasal dari Brazil ini pada tahun 1870-an. Ini juga didorong oleh industri petroleum yang membekalkan bahan mentah berasaskan petroleum untuk pengeluar tempatan dalam pembuatan alat pelindung sarung tangan ini.

Saham Top Glove meningkat tiga kali ganda pada tahun ini, dan turut meningkatkan kekayaan pengasasnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai, menjadi USD2.5 bilion, menurut kiraan Bloomberg, tidak termasuk nilai saham yang lain. Syarikat tersebut melaporkan kenaikan pendapatan bersih 366% kepada RM348 juta (AS $ 81 juta) untuk tiga bulan berturut sehingga Mei, dengan penjualan mencapai tahap tertinggi sepanjang zaman. Pengarah eksekutifnya mengatakan dalam taklimat penganalisis pada hari Khamis lepas bahawa “yang terbaik masih belum datang,” dengan “persembahan yang lebih hebat” bakal berlaku pada prestasi suku seterusnya.

Saingan tempatan Hartalega dan Kossan Rubber juga telah meningkat dua kali ganda pada tahun 2020. Ini mendorong nilai pegangan Hartalega yang dipegang oleh pengasasnya Kuan Kam Hon dan keluarganya kepada USD4.8 bilion, termasuk saham yang dimiliki secara tidak langsung melalui syarikat induk. Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia dari Kossan Rubber, yang kini memiliki kekayaan bernilai USD 1.1 bilion, juga menjadi jutawan baru pada tahun ini.

Lonjakan Secara Eksponensial

Tetapi dengan lonjakan saham 394% pada tahun 2020 hingga Isnin, pendakian Supermax tidak ada tandingannya. Syarikat itu melaporkan peningkatan pendapatan 24% menjadi RM447 juta selama tiga bulan hingga Mac, yang didorong oleh “lonjakan permintaan yang eksponensial kerana pandemik Covid-19,” katanya dalam siaran suku tahunannya. Syarikat itu mengeluarkan 24 bilion sarung tangan setiap tahun dan ingin mengembangkannya menjadi 44 bilion menjelang 2024, menurut laporan tahunan 2019. Ia telah membeli tanah tambahan untuk meningkatkan kapasiti pembuatan pada bulan ini.

Namun, kenaikan Datuk Seri Thai menjadi billionaire hadir dengan kontroversi. Dia telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan 2017 atas kesalahan kebocoran maklumat dalaman yang didakwa dilakukannya pada tahun 2007. Dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta kerana menyampaikan maklumat bukan awam mengenai APL Industries Bhd, sebuah syarikat yang dikuasai Supermax pada tahun 2005 namun telah dikeluarkan dari senarai bursa pada tahun 2009.

Walaupun kebanyakan penganalisis bersikap positif terhadap Supermax – iaitu lapan dari 10 yang dihubungi oleh Bloomberg mengesyorkan membeli saham tersebut, dan tidak ada yang menasihati untuk menjual – tetapi ada yang mengatakan bahawa pembuat sarung tangan Malaysia berdepan risiko besar sekiranya negara seperti China memperluas pengeluarannya, seperti amaran yang dikeluarkan Maybank Investment Bank Bhd melalui laporan oleh Lee Yen Ling minggu lalu. Mereka melepaskan beberapa pegangan selepas kenaikan pada hari Isnin, dengan Supermax susut 13% untuk kemerosotan terbesarnya sejak Ogos 2018. Namun ia kembali melonjak 7.3% pada Selasa.

Tetapi buat masa ini, Supermax tetap menjadi kegemaran pelabur. Keluaran sarung tangan atas jenama sendiri mungkin menjadi faktor utama kerana mereka dapat menjual dengan harga lebih tinggi secara langsung kepada pelanggan akhir, menurut CGS-CIMB’s Aw, yang mengharapkan ledakan industri dapat bertahan lama setelah kesan langsung Covid-19.

Bagi penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon, Supermax juga mempunyai hari-hari yang lebih baik – bukan hanya kerana “permintaan yang tidak normal dan penawaran yang terhad,” tulisnya dalam catatan 10 Jun, tetapi juga hasil “pelaksanaannya yang teliti dan plan rancangan pengembangan. ” Dan pengambilalihan tanah baru-baru ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan masa depan yang cemerlang, kata penganalisis tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat