Inflasi AS Meningkat Beri Kesan ‘Booster’ Kepada USD!

853

Pergerakan pasaran kekal tidak menentu menuju ke dagangan penghujung minggu dengan pelabur menyaksikan US dolar kembali menukar arah haluannya.

Didorong oleh data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan di sesi New York semalam, US dolar paparkan pengukuhan ketara semula.

Sedikit mengejutkan apabila angka bacaan bulanan inflasi pengeluar (PPI) AS adalah lebih tinggi berbanding ramalan iaitu 0.6% untuk Februari berbanding 0.3%, menjadikan peningkatan terbesar sejak Ogos tahun lalu.

Bacaan PPI ini dilihat mengiringi corak inflasi pengguna (CPI) yang turut meningkat diterbitkan pada Selasa lalu.

Tuntutan faedah pengangguran AS untuk minggu sebelum ini juga catat angka yang baik, sementara kadar jualan runcit pula tidak mencapai ramalan, namun lebih baik berbanding angka sebelumnya.

Dengan bacaan keseluruhannya yang positif menunjukkan ekonomi AS masih berdaya tahan dan ini kembali mencetuskan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) tidak akan tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

Situasi ini telah memberi kesan kepada pengukuhan semula US dolar berikutan jangkaan Fed akan masih terus mengekalkan dasar yang ketat untuk beberapa mesyuarat lagi.

Semestinya mata wang utama lain dalam pasaran akan kembali terkesan menerima tekanan pengukuhan US dolar tersebut.

Isyarat pengukuhan US dolar di awal minggu nampaknya akan kembali diteruskan menuju ke penghujung minggu ini.

Namun, beberapa lagi data akan menjadi tumpuan pada sesi terakhir antaranya adalah indeks pembuatan Empire State dan tinjauan keyakinan pengguna AS oleh Universiti Michigan.

Indeks dolar (DXY) telah paparkan lonjakan ke paras 103.40 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula kembali mendaki hingga ke sekitar 4.30%.

Pasaran komoditi juga rancak menyaksikan harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda atas WTI dan Brent melonjak naik ke paras tertinggi sejak November 2023.

WTI capai paras harga $81.00 setong manakala Brent $85.20.

Namun dagangan emas bergerak suram dengan corak penurunan harga dipaparkan hingga mencecah sekitar $2,153.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat