Itu Dia! RBA Kekalkan Faedah, Apa Reaksi Dolar Aussie?

323

Seperti dijangkakan secara meluas, Reserve Bank of Australia (RBA) mengekalkan kadar faedah pada tahap terendah 0.25% pada mesyuarat polisi bagi sesi bulan September pada hari ini.

Keputusan ini hadir ketika tumpuan pasaran turut terarah kepada penerbitan data pertumbuhan ekonomi Australia yang diramalkan menguncup sebanyak 6% pada suku kedua sehingga Jun.

Dengan menetapkan kadar faedah tidak berubah, bank pusat itu bagaimanapun akan terus menawarkan pendanaan kepada institusi-institusi kewangan di bawah kemudahaan pembiayaan jangka.

Berikutan RBA menjangkakan krisis pandemik coronavirus akan memberi kesan berpanjangan kepada ekonomi, institusi pengambilan deposit (ADI) yang sah akan mendapat akses kepada dana tambahan, setara dengan 2 peratus daripada kredit tertunggak mereka pada kadar faedah 0.25% selama tiga tahun.

Kemudahan ini dikatakan akan dilanjutkan sehingga akhir bulan Jun 2021, yang mana pelanjutan ini dibuat bagi memastikan semua ADI terus mendapat akses ke kemudahan tersebut setelah akhir September. Secara keseluruhannya, ini menjadikan jumlah yang tersedia di bawah kemudahan tersebut adalah sekitar $200 bilion.

Dalam pada itu, Gabenor RBA Philip Lowe mengatakan ekonomi kini melalui fasa yang sukar namun, ia tidak seteruk seperti yang disangkakan. Pemulihan pula dilihat tidak menentu dengan wabak coronavirus di Victoria akan memberi kesan besar kepada ekonomi Australia.

Selain itu, Lowe juga memberitahu bahawa ekonomi perlu terus menerima sokongan daripada tindak balas polisi, termasuk perbelanjaan kerajaan untuk jangka masa yang panjang.

Susulan daripada keputusan ini, dolar Aussie meneruskan momentum pengukuhannya dengan diniagakan tinggi menghampiri paras ketinggian 2 tahun berbanding US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat