Jack Ma ‘Diserang’ Lagi

1,420

Jika sebelum ini, syarikat milik Jack Ma iaitu Alibaba dikenakan denda sebanyak AS$2.75 bilion oleh kerajaan China, kali ini sebuah lagi entiti miliknya, Ant Group didesak untuk melakukan rombakan menyeluruh supaya firma teknologi kewangan itu bertindak sebagai sebuah bank.

Pelancaran pasaran saham Ant Group bertaraf mega yang bernilai AS$37 bilion pada November tahun lalu, digagalkan oleh pihak berkuasa China susulan kebimbangan mengenai model kewangannya.

Desakan itu adalah sebahagian daripada tindakan keras Beijing terhadap platform teknologi yang berkembang pesat di negara terbabit.

Rombakan terbabit yang diarahkan oleh People’s Bank of China akan mengakibatkan Ant Group berada di bawah pengawasan peraturan yang ketat dan keperluan modal minimum.

Ant Group merupakan penyedia perkhidmatan pembayaran terbesar di China dengan lebih daripada 730 juta pengguna setiap bulan menggunakan perkhidmatan pembayaran digitalnya iaitu Alipay.

Menurut bank pusat tersebut, di bawah ‘pelan penyusunan semula yang komprehensif’, Ant Group perlu ‘memutuskan sebarang hubungan yang tidak perlu’ antara Alipay dan perkhidmatan kad kredit serta pinjaman penggunanya.

Data pengguna yang dimiliki oleh Ant Group merupakan salah satu kelebihan firma terbabit berbanding pesaingnya yang lain.

Ant Group juga bersetuju untuk menubuhkan syarikat pelaporan kredit peribadi yang akan mengukuhkan perlindungan maklumat peribadi dan mencegah penyalahgunaan data secara berkesan.

Jack Ma menjadi sasaran pihak berkuasa China selepas beliau mendakwa Beijing menyekat inovasi firma-firma teknologi.

Selepas tindakan denda tersebut diumumkan pada Jumaat lalu, harga saham Alibaba melonjak lebih daripada 8% selepas para pelabur percaya itu menandakan siasatan terhadap syarikat terbabit telah tamat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat