Joe Biden Pilih Ketua Turus White House

299

Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam mengumumkan Ron Klain bakal berkhidmat sebagai Ketua Turus White House.

Klain telah berkhidmat sebagai pembantu kepada Biden sejak 1980-an sewaktu Biden di Senat dan kemudiannya menjadi Naib Presiden AS.

Sebagai Ketua Turus, Klain akan memantau Pejabat Eksekutif Presiden selain berkhidmat sebagai penasihat kanan.

“Ron sangat penting kepada saya, berada di sisi saya, sejak bertahun-tahun kami bekerjasama, termasuk ketika kami menyelamatkan ekonomi AS daripada kemerosotan terburuk dalam sejarah pada 2009 dan ketika darurat kesihatan awam pada 2014.

“Pengalaman, kemampuan mendalam dan keupayaan Klain untuk bekerja dengan semua orang di seluruh spektrum politik adalah apa yang saya perlukan sebagai Ketua Turus White House ketika kita menghadapi saat krisis dan menyatukan kembali negara kita,” kata Biden dalam satu kenyataan seperti dilaporkan oleh Bernama.

Dalam pada itu, Klain berkata, beliau berbesar hati berkhidmat untuk Biden dan berharap dapat membantunya serta bakal Naib Presiden, Kamala Harris.

Pelantikan Klain adalah yang pertama bagi Biden, yang memenangi pilihan raya Presiden pada 3 November lalu menentang pesaingnya dari Republikan, Donald Trump.

Dari 2009-2011, Klain adalah Ketua Turus Biden di bawah pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dan sebelumnya berkhidmat sebagai ketua Turus kepada Naib Presiden Al Gore semasa pemerintahan Bill Clinton.

Beliau juga memantau tindak balas pentadbiran Obama terhadap wabak Ebola di Afrika Barat pada akhir 2014 dan awal 2015.

Klain menyertai kempen pilihan raya Biden pada tahun ini sebagai penasihat kanan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat