Semalam (24 November) Jabatan Buruh US melaporkan 251,000 laporan pengangguran (Jobless claims) dicatatkan bagi minggu berakhir pada 18 November yang menunjukkan peningkatan sebanyak 18,000 berbanding minggu sebelum itu yang mencatatkan jumlah 233,000.
Data yang dikeluarkan ini sedikit tinggi daripada jangkaan penganalisis sebanyak 241,000.
Jobless claims bermaksud jumlah penduduk yang pertama kali membuat permohonan insurans pengangguran. Ia juga dipanggil sebagai Unemployment claims.
Tuntutan atau permohonan faedah pengangguran berada di bawah 300,000 untuk 90 minggu berturut-turut yang paling lama sejak tahun 1970.
Individu yang akan terus menerima faedah pengangguran ini sejak 12 November lepas meningkat sebanyak 60,000 kepada 2.043 juta.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya banyak disumbangkan oleh perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah dalam keadaan optimum. Untuk melihat keadaan optimum dalam pasaran buruh, kadar pengangguran haruslah berada di bawah dan tidak melebihi 5%.
Harus diingat data-data pekerjaan bagi negara seperti US adalah sangat penting bagi menentukan ekonomi US sedang berada dalam keadaan baik ataupun tidak. Sepertimana pemain pasaran memberi perhatian kepada data NFP (non-farm payroll) setiap bulan, data ini juga tidak kurang pentingnya kerana ia juga memberikan gambaran jumlah penduduk yang sedang menganggur.