Kanada Jadi Sasaran Tarif Perdagangan Seterusnya Oleh Amerika Syarikat

266

Amerika Syarikat dilaporkan sedang merancang untuk mengenakan semula tarif ke atas import aluminium dari Kanada, menurut Bloomberg yang memetik kenyataan orang yang berkait rapat dengan perkara ini.

Sekiranya Kanada menolak untuk menyekat eksportnya, Amerika Syarikat akan mengumumkan pada hari Jumaat minggu ini mengenai pengenaan semula tarif 10% ke atas aluminium dari negara itu.

Hal ini kerana berlaku peningkatan bekalan aluminium dari negara itu sehingga menyebabkan pengeluar dari Amerika Syarikat terjejas.

Sebelum ini, wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer telah meluahkan kebimbangannya terhadap masalah yang dihadapi pengeluar aluminium Amerika yang telah menyaksikan penurunan penjualan dan harga berikutan permintaan yang dijejaskan oleh Covid-19.

Persatuan Aluminium Utama Amerika, telah meminta Lighthizer untuk mengenakan semula tarif 10% ke atas import aluminium Kanada dengan mengatakan penambahan kemasukan logam berasal dari negara itu telah menyebabkan harga jatuh.

Pengenaan semula tarif itu dikatakan akan berkuatkuasa pada 1 Julai, yang mana perjanjian perdagangan baru Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada (USMCA) juga bakal dilaksanakan bermula tarikh tersebut.

Beberapa industri, termasuk pembuat kereta, telah memohon supaya perjanjian tersebut ditangguhkan disebabkan kesukaran yang dihadapi susulan penularan wabak pandemik coronavirus.

USMCA akan menggantikan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang berusia 26 tahun, di mana sebelum ini ia dianggap oleh Presiden Donald Trump sebagai perjanjian terburuk bagi negara itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat