Roket Falcon 9 menembusi ruang udara membawa kapal angkasa Crew Dragon, dikenali Resilience milik firma Elon Musk, Space X ke orbit buat kali pertama pada Ahad (hari ini waktu Malaysia).
Krew penuh menyertai ekspedisi itu selepas NASA mengiktiraf Space X sebagai firma swasta pertama yang menawarkan sistem operasi bagi melancarkan penerbangan angkasawan pergi balik angkasa.
Ia juga merupakan hari bersejarah bagi Musk setelah firmanya bertahun-tahun bekerja keras membangun dan menguji Crew Dragon Resilience bagi bertujuan untuk membawa manusia ke ruang angkasa secara berkala.
Crew Dragon dihasilkan untuk mengangkut manusia ke angkasa. Ia dibangunkan berdasarkan idea kapal angkasa Cargo Dragon yang dibina khas untuk pengangkutan keperluan ke ISS.
Penerbangan empat angkasawan termasuk Mike Hopkins, Victor Glover, Shannon Walker dan Soichi Noguchi dengan Resilience bertujuan untuk menjalankan kajian ke atas mikro graviti dan beberapa kajian saintifik lain selama enam bulan di ISS.
Musk menerusi akaun Twitternya dengan simbol emoji berbentuk hati, meraikan kejayaan Space X.
Turut meraikan kejayaan Space X adalah angkasawan NASA dan komander Resilience, Mike Hopkins dari angkasa, angkasawan Apollo, Buzz Aldrin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan bakal Presiden AS, Joe Biden.
Nampaknya Elon Musk lagi beberapa tapak mencapai cita-citanya membawa manusia ke Marikh selepas dilaporkan Space X sedang merancang untuk meluaskan lagi kegunaan kapal angkasa Crew Dragon dalam pelbagai misi termasuk pelancongan ke angkasa.