Kenderaan Tesla Buat Hal Lagi, 817,000 Unit Dipanggil Semula

1,933

Asyik ada masalah saja Tesla ni, bila entah nak selesai.

Tesla Inc telah memanggil semula lebih 817,000 unit kenderaannya di Amerika Syarikat (AS) kerana isu loceng amaran tali pinggang keledar tidak berfungsi ketika pemandu tidak memakai tali pinggang keledar semasa kereta bergerak.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) melaporkan Model S dan Model X keluaran tahun 2021-2022, Model 3 keluaran tahun 2017-2022 dan Model Y keluaran tahun 2020-2022 telah gagal mematuhi piawaian keselamatan kenderaan bermotor persekutuan mengenai ‘Occupant Crash Protection’ akibat loceng amaran tidak berfungsi.

Tesla telah memberi responnya dengan melakukan kemas kini perisian over-the-air (OTA) bagi menangani isu tersebut.

Sebelum itu, Tesla telah memberitahu NHTSA bahawa mereka tidak mengetahui sebarang kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan isu tersebut.

Menurut dokumen yang difailkan Tesla dengan NHTSA, South Korea Automobile Testing & Research Institute telah membawa isu tersebut kepada Tesla pada 6 Januari lalu.
Tesla mengatakan masalah perisian mungkin punca kepada loceng amaran tidak berfungsi apabila kenderaan dihidupkan dalam keadaan tertentu.

Tambah Tesla, isu berkenaan terhad kepada keadaan di mana loceng tersebut terganggu dalam kitaran pemanduan dan sebelum tali pinggang keledar dipakai, selain isu berkenaan tidak menjejaskan loceng tersebut yang boleh didengar daripada diaktifkan apabila kenderaan melebihi 22 kilometer sejam dan tali pinggang keledar pemandu gagal mengesan ia telah dipasang.

Tesla terus di bawah pemerhatian daripada pengawal selia AS dan telah mengeluarkan beberapa panggilan semula sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Selasa lalu, Tesla telah memanggil semula 53,822 unit kenderaan dengan perisian Full Self-Driving (Beta) syarikat yang mungkin membenarkan sesetengah model melakukan ‘hentian perlahan’ dan tidak berhenti sepenuhnya di persimpangan yang menimbulkan risiko keselamatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat