Seperti dijangkakan secara meluas, Federal Reserve (Fed) AS menetapkan kadar faedah untuk kekal pada julat sasaran 0-0.25% ketika pembuat dasar mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat di tengah-tengah ketidaktentuan pilihan raya.
Susulan daripada keputusan Jawatankuasa Psaran Terbuka Persekutuan (FOMC), Pengerusi Fed, Jerome Powell menekankan bahawa ekonomi memerlukan lebih banyak sokongan fiskal dan monetari.
Walaupun aktiviti ekonomi dan pekerjaan dikatakan terus pulih tetapi ia masih jauh daripada tahap sebelum krisis pandemik Covid-19 melanda.
Beliau turut memberi amaran bahawa krisis kesihatan yang berlanjutan akan membebankan kegiatan aktiviti ekonomi, pekerjaan dan inflasi jangka pendek serta menimbulkan risiko yang besar terhadap prospek ekonomi dalam jangka sederhana.
Prospek jangka pendek telah dikaburkan oleh keraguan terhadap bagaimana polisi fiskal akan dilaksanakan pada masa akan datang jika berlaku peralihan pemerintahan dan kemungkinan pentadbiran Donald Trump yang akan mempengaruhi keputusan mengenai pembiayaan kerajaan dan memperluaskan program kecemasan bank pusat.
Dengan kecenderungan parti Republik untuk menguasai Senat, Demokrat berdepan cabaran besar untuk melaksanakan perubahan dalam menggubal polisi fiskal sekiranya Joe Biden menang pilihan raya ini.
Perpecahan ini sekali gus akan mengurangkan peluang untuk meluluskan langkah rangsangan yang lebih besar daripada Kongres walaupun pandemik Covid-19 terus mengancam ekonomi negara.
Hal ini pastinya menimbulkan tekanan kepada Fed untuk meningkatkan pembelian bonnya, atau sekurang-kurangnya mengubah komposisi pembeliannya sebagai usaha untuk menurunkan kos pinjaman dan meningkatkan pemulihan.