Keputusan Pilihan Raya UK : Kemenangan Sah Milik Parti Boris Johnson!

656

Boris Johnson kekal memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri UK selepas keputusan rasmi pilihan raya menunjukkan kemenangan majoriti berpihak kepada Parti Konservatif di bawah pimpinannya.

Parti Konservatif meraih kemenangan mutlak dalam parlimen UK, menepati ramalan yang dikeluarkan oleh exit poll yang menunjukkan parti itu akan memenangi majoriti terbesar sejak kejayaan Margaret Thatcher pada tahun 1987.

Kemenangan ini akan membolehkan PM Johnson mendapatkan kelulusan perjanjian Brexit melalui persetujuan parlimen dan seterusnya menunaikan janji beliau untuk membawa UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Januari 2020.

PM Johnson, dalam ucapannya pada hari ini memberitahu bahawa partinya telah diberikan mandat untuk mendapatkan Brexit berlaku pada tarikh akhir yang ditetapkan.

Susulan kemenangan tersebut, Presiden AS Donald Trump menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada PM Johnson dan memberitahu Britain dan Amerika Syarikat kini bebas untuk mendapatkan perjanjian perdagangan yang besar selepas Brexit.

Presiden Majlis EU, Charles Michel juga mengucapkan tahniah kepada Parti Konservatif dan menyatakan kesediaannya untuk berunding kerjasama yang rapat dengan UK. Beliau juga berharap perjanjian Brexit akan mendapat kelulusan daripada parlimen secepatnya.

Selepas hampir setengah abad UK menyertai EU, PM Johnson kini perlu berhadapan dengan beberapa rundingan perjanjian yang akan menentukan hubungan antara UK dengan EU pada masa akan datang.

Kebanyakan penganalisis berpendapat bahawa proses rundingan ini akan mengambil bertahun-tahun tetapi PM Johnson telah berjanji ia dapat diselesaikan dalam tempoh peralihan selama 11 bulan yang akan berakhir pada Disember 2020.

Sementara itu, Jeremy Corbyn mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai pemimpin Parti Buruh selepas partinya mengalami kekalahan paling teruk dalam tempoh 84 tahun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat