Keputusan Tinjauan Terbaru Pilihan Raya UK Dorong Lonjakan Matawang Pound

559

Dagangan pound melonjak ke paras tertinggi yang pernah dicapai sejak Oktober lalu berbanding dolar USD, selepas tinjauan undian pilihan raya UK yang dikeluarkan oleh Kantar menunjukkan sokongan untuk Parti Konservatif meningkat kepada 12 mata berbanding pembangkang Parti Buruh.

Pergerakan euro kembali terbatas pada sesi Eropah dengan tumpuan terarah kepada ucapan beberapa ahli Bank Pusat Eropah (ECB) hari ini untuk mendapatkan petunjuk mengenai penetapan dasar monetari pada minggu depan selepas Presiden ECB Christine Lagarde gagal memberi isyarat mengenainya dalam keterangan beliau di parlimen Eropah semalam.

Selain itu, dolar Aussie terus mempamerkan pengukuhannya susulan keputusan Reserve Bank of Australia (RBA) yang mengekalkan kadar faedah pada 0.75% dan kenyataan Gabenor Philip Lowe yang menunjukkan tidak ada pelonggaran selanjutnya selepas ini.

Dengan pengukuhan dolar Aussie, dagangan kiwi turut meraih manfaat dengan diniagakan meningkat ke paras tertinggi empat bulan berbanding USD.

Di sisi lain, pengumuman pelaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas beberapa negara terus menjejaskan pergerakan dolar pada sesi Eropah untuk diniagakan menyusut berbanding matawang utama lain.

Kerajaan AS memberitahu mereka mungkin akan mengenakan sehingga 100% tarif ke atas barangan import daripada Perancis yang bernilai $2.4 bilion, di samping turut mengenakan tarif terhadap import besi dan aluminium daripada Brazil dan Argentina.

Sementara itu, penasihat White House Kellyanne Conway memberitahu bahawa perjanjian dengan China sedang ditulis, tetapi kenyataan bercanggah daripada Setiausaha Perdagangan AS Wilbur Ross yang menyatakan tarif ke atas China akan dilaksanakan jika perjanjian gagal dicapai, telah mengelirukan pasaran.

Penyusutan dolar USD juga masih terkesan oleh data sektor pembuatan ISM yang mencatatkan pertumbuhan yang lemah dalam aktiviti perkilangan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat