Lagi Sekali, Ekonomi AS ‘Ranapkan’ Harapan Ringgit Untuk Bangkit

137

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini disebabkan oleh laporan pasaran buruh AS yang kukuh semalam.

Data Tuntutan Pengangguran Awal AS menurun lebih rendah daripada jangkaan pada 218,000 pada minggu lepas berbanding anggaran konsensus iaitu sebanyak 221,000. Hal ini telah mengurangkan jangkaan penurunan kadar faedah pada Mac nanti.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Bhd, Dr Afzanizam Rashid berkata penanda aras AS iaitu S&P 500 telah melepasi paras 5,000 mata secara ringkas.

Secara keseluruhannya, mata wang dolar AS tampaknya diberi kelebihan untuk naik lebih tinggi kerana Federal Reserve (Fed) mungkin tidak akan memberi petunjuk yang sebaliknya.

Oleh itu, ringgit berkemungkinan kekal lemah berbanding dolar AS sepanjang hari ini.

Tepat jam 9 pagi tadi, ringgit jatuh ke paras 4.7820 berbanding dolar AS daripada ia ditutup pada 4.7705 semalam.

Walau bagaimanapun, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama tetapi bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.2010/3.2046 daripada 3.2068/3.2100 pada penutupan Khamis.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 6.0320/6.0383 daripada 6.0251/6.0302 sebelum ini dan susut berbanding euro kepada 5.1516/5.1570 daripada 5.1445/5.1488.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain tetapi lebih baik berbanding baht Thailand pada 13.3103/13.3317 daripada 13.3191/13.3362.

Ringgit rendah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5477/3.5517 berbanding 3.5471/3.5506 pada Khamis. Ia juga rendah berbanding rupiah Indonesia pada 305.8/306 berbanding 305.0/305.5 dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.55/8.56 daripada 8.53/8.54.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat