Lepas Naik, USD Jatuh Semula!

834

Pengukuhan mata wang pound terhenti selepas data terbaru menunjukkan inflasi UK dicatatkan paling rendah lebih satu tahun pada bulan Jun.

Terdahulu pada sesi Eropah semalam, indeks harga pengguna (CPI) tahunan UK dilaporkan meningkat 7.9% pada bulan lepas, turun ketara dari 8.7% yang dicatatkan pada Mei dan tersasar daripada jangkaan untuk kenaikan 8.2%.

Hal ini sekali gus dilihat telah meredakan tekanan buat Bank of England (BOE) untuk terus menaikkan kadar faedahnya lebih tinggi.

Ekoran daripada itu juga, pelabur mengubah jangkaan daripada kenaikan kadar 50 mata asas pada mesyuarat Ogos kepada 25 mata asas sahaja oleh BOE.

Pasangan mata wang pound berbanding US dolar susut kira-kira 160 pips susulan terbitan data tersebut sebelum mengurangkan beberapa kerugian untuk didagangkan sekitar harga 1.2949 pada sesi Asia, pada waktu penulisan.

US dolar pula meningkat, menyaksikan indeks dolar yang mengukur kekuatan greenback berbanding sekumpulan mata wang utama kembali berada di atas paras 100.

Pun begitu, keuntungan yang dicatatkan raja mata wang itu terbatas susulan data perumahan Amerika Syarikat yang menyuramkan pada bulan Jun, mendorongnya kembali didagangkan rendah pada sesi Asia hari ini.

Penyusutan greenback juga dilihat dipengaruhi oleh tindakan Bank Pusat China (PBOC) yang menetapkan kadar rujukan yuan lebih rendah daripada dijangkakan dan memberi kelonggaran untuk pembiayaan rentas sempadan ketika sesi Asia.

Tumpuan pelabur seterusnya beralih kepada data tuntutan pengangguran AS dan indeks pembuatan Philly Fed pada malam ini.

Sementara itu dalam perkembangan mata wang utama lain, euro kembali meningkat untuk kekal mengukuh di sekitar paras tertinggi 17 bulannya selepas sedikit susut pada Rabu.

Dolar Aussie dan New Zealand turut mendapat sokongan semula untuk meningkat berikutan penyusutan US dolar, ditambah pula dengan data pekerjaan Australia yang lebih baik daripada jangkaan pada bulan Jun.

Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat