LHDN Catat Kutipan Cukai Tertinggi Bernilai RM183.3 Bilion Pada 2023

249

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencipta sejarah apabila mengutip RM183.3 bilion cukai sepanjang tahun lalu. Ia melepasi sasaran yang ditetapkan RM176 bilion dan menjadi satu rekod tertinggi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata kutipan tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.8 bilion (4.49%) berbanding 2022 serta menjadikannya tertinggi dalam sejarah.

Katanya lagi, setiap ringgit yang dikutip oleh LHDN daripada pembayar cukai adalah penting dalam memastikan pembangunan dan kestabilan Malaysia.

Pihak LHDN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar cukai yang gigih menyumbang hasil kepada negara dan memikul tanggungjawab sebagai pembayar cukai.

Sasaran kutipan cukai yang ditetapkan LHDN bagi 2024 ialah RM197 bilion dengan kenaikan sebanyak 7.47% daripada jumlah sasaran sebelumnya.

Menurut laporan sebelum ini, kutipan cukai oleh LHDN pada 2022 berjumlah RM175 bilion berbanding RM144 bilion pada tahun sebelumnya.

Abu Tariq juga turut menjelaskan LHDN menerima 64,748 kes pengisytiharan sukarela yang berjumlah RM573.476 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada menerusi program pendedahan sukarela khas (SVDP) setakat 31 Januari lalu.

Beliau juga menggesa pembayar cukai untuk mengambil bahagian dalam program itu bagi memastikan semua pendedahan yang dibuat di bawahnya akan dikecualikan daripada penalti.

Audit atau penyiasatan akan dijalankan ke atas pembayar cukai yang mengambil bahagian dalam program untuk tahun taksiran ke hadapan mereka. Program SVDP 2.0 bermula pada 6 Jun 2023 dan akan berakhir pada 31 Mei tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat