Licik, Putin Tawarkan Penggunaan Nord Stream 2 Kepada Eropah

1,169

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata saluran paip Nord Stream 2 boleh digunakan untuk meningkatkan bekalan gas ke Eropah.

Bercakap pada media selepas pertemuan dengan pemimpin Turki dan Iran pada Selasa, Putin menawarkan penyelesaian tersebut kepada krisis tenaga di Eropah.

Putin memberitahu bahawa Rusia boleh melancarkan saluran paip Nord Stream 2 yang baru siap dan tidak pernah digunakan, tetapi ia mungkin hanya boleh mengalirkan separuh daripada kapasiti kerana selebihnya telah dikhaskan untuk kegunaan domestik.

Nord Stream 2 adalah saluran paip gas asli sepanjang 1,234 km dari Rusia ke Jerman yang mengalir melalui Laut Baltik, dibiayai oleh Gazprom dan beberapa syarikat tenaga Eropah.

Projek itu telah dimulakan pada 2011 dan telah siap pada September 2021, dibina untuk mengembangkan saluran Nord Stream dan menggandakan kapasiti tahunan.

Bagaimanapun, Canselor Jerman Olaf Scholz telah menggantung pensijilannya pada Februari selepas Moscow melancarkan operasi ketenteraannya ke atas Ukraine.

Tawaran daripada pemimpin Rusia itu dilihat sebagai ‘umpan’ untuk Eropah mengangkat semula sekatan ke atas import tenaganya.

Nord Stream 1 kini ditutup untuk penyelenggaraan sehingga 22 Julai, namun EU bimbang bahawa Moscow mungkin akan terus menutupnya bagi menekan Eropah dengan mengurangkan bekalan menjelang musim sejuk.

Meredakan kebimbangan itu, Putin mengatakan operasi saluran paip gas itu akan kembali disambung pada minggu ini, tetapi pada kadar yang lebih rendah.

Dalam pada itu, Putin juga memberi amaran kepada Barat bahawa rancangannya untuk mengehadkan harga minyak Rusia akan menjejaskan kestabilan pasaran minyak global dan mendorong harga melambung tinggi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat