Lonjakan Dolar Aussie Dan Kiwi Rupanya Berpunca Dari 2 Data Ekonomi Ini

380

Mata wang Asia, dolar Aussie dan New Zealand didagangkan lebih tinggi pada hari Khamis setelah diperlihatkan dengan bacaan dua data ekonomi yang diterbitkan ketika sesi Asia.

Kadar pengangguran Australia jatuh ke paras terendah lebih 13 tahun pada Februari dengan menurun kepada 4.0% daripada 4.2% yang dicatatkan sebelumnya dan juga melebihi jangkaan untuk turun pada 4.1%.

Ini sekali gus menunjukkan pemulihan kuat yang berterusan dalam pasaran pekerjaan Australia, menyaksikan sebanyak 77,400 pertambahan pekerjaan telah dibuat pada bulan lalu.

Angka ini juga menunjukkan bahawa Bank Pusat Australia (RBA) mungkin dapat melihat kenaikan upah yang dimahukannya sebelum menaikkan kadar faedah. Pemain pasaran kini menjangkakan RBA akan meningkatkan kadar antara Jun dan Ogos.

Dolar Aussie melonjak tinggi susulan pengukuhan ini untuk didagangkan pada 0.7300 berbanding US dolar yang merosot.

Sementara itu, dolar kiwi turut meningkat selepas data menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kembali kepada pertumbuhan pada suku akhir 2021 dengan pengembangan sebanyak 3.0% daripada penguncupan 3.6% sebelumnya.

Walaupun sedikit tersasar daripada jangkaan untuk pertumbuhan 3.3%, tetapi penganalisis melihat data yang dicatatkan akan menyokong jangkaan Bank Pusat New Zealand (RBNZ) untuk menaikkan kadar faedah sekali lagi.

Susulan penerbitan data tersebut, dolar kiwi didagangkan lebih kukuh pada sekitar harga 0.6840 berbanding US dolar. Pengukuhan ini turut disokong oleh penyusutan dolar greenback susulan pengumuman keputusan dasarnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat