Malaysia Airlines Kembali Beroperasi

857

Berikutan dengan situasi COVID-19 yang dilihat semakin pulih serta kebanyakan negara mula membuka sempadan mereka, Malaysia Airlines didakwa bijak mencipta peluang dengan meningkatkan penerbangan domestik dan kembali menyediakan penerbangan antarabangsa bermula pada bulan Jun dan Julai.

Menurut sebuah kenyataan, syarikat penerbangan terkemuka Malaysia itu mendedahkan bahawa mereka akan mengadakan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan penumpang sebelum penyusunan semula jadual penerbangan dilakukan pada Oktober nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail menyatakan bahawa syarikat penerbangan tersebut akan menjamin keselamatan, kesihatan, dan keselesaan penumpang dengan mempraktikkan langkah-langkah pencegahan yang diperkenalkan oleh protokol keselamatan dan kesihatan antarabangsa.

Susulan daripada penularan wabak COVID-19 ini, Malaysia Airlines telah memastikan setiap prosedur keselamatan dipatuhi termasuk menjalankan pemeriksaan suhu badan, aktiviti nyahkuman dan pembersihan terhadap semua harta benda serta kemudahan, pelaksanaan penjarakan sosial, mewajibkan penggunaan topeng muka dan pemasangan penghalang skrin pelindung di kaunter daftar masuk dan kaunter lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kini, para penumpang boleh membuat tempahan penerbangan di laman web rasmi Malaysia Airlines atau di aplikasi mudah alih syarikat berkenaan. Selain itu, mereka digalakkan untuk mendaftar masuk menggunakan medium atas talian atau peranti mudah alih bagi mengelakkan kesesakan di lapangan terbang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat