Masih Tiada Simpanan? Ini 6 Solusi Kewangan Terbaik Untuk 2024

5,136

Tahun 2023 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa minggu lagi. Tahun 2024, kita mulakan dengan langkah kanan yang penuh tekad bagi menjadikan diri kita lebih baik daripada sebelumnya.

Namun, pasti ramai di antara kita masih lagi mempunyai masalah dalam menguruskan kewangan kan? Iyalah, setiap hujung bulan pasti dompet sudah kering.

Artikel ini akan berkongsikan 6 solusi kewangan bagi persediaan anda untuk tahun 2024.

1. Sediakan Simpanan Kecemasan

Langkah ini adalah untuk membuat persediaan bagi menghadapi masalah kewangan yang tidak dijangka. Anda boleh membuat tabung simpanan secara konsisten secara bulanan dengan nilai kecil dengan meletakkan had simpanan yang bersesuaian.

Letakkan pada akaun berasingan bagi memudahkan matlamat simpanan. Untuk matlamat simpanan jangka masa panjang, sasarkan untuk menyimpan perbelanjaan sara hidup sekurang-kurangnya untuk tiga bulan dalam akaun kecemasan.

Sila pastikan anda membayar dahulu komitmen penting dan jangan terlalu memaksa dalam membuat simpanan kecemasan.

2. Urus Bajet Berdasarkan Keutamaan

Adakah anda banyak membazir pada tahun 2023? Jika ya, sila buat semak dan imbang bagi mengurangkan risiko kesesakan kewangan. Ramai di antara kita yang suka berbelanja lebih jika mempunyai lebihan modal di tangan. Sedarlah bahawa tindakan itu akan membuatkan perbelanjaan kita tidak teratur.

Langkah pertama dalam menguruskan kewangan adalah dengan melihat tabiat perbelanjaan dan perancangan anda. Sila buat perancangan yang sejajar dengan keutamaan dan peruntukan kewangan bagi mengelak perbelanjaan yang berlebihan.

Kaedah ini boleh membantu anda berada di landasan yang betul dan mencapai matlamat kewangan anda tanpa mengira keadaan.

3. Kurangkan Berhutang dan Tingkatkan Skor Kredit

Utamakan bayar hutang kad kredit yang mempunyai kadar faedah tinggi untuk meningkatkan skor kredit anda dengan cepat.

Pertimbangkan kaedah pengurusan bayaran hutang yang berbeza daripada sebelum ini di mana anda dapat melangsaikan hutang dengan lebih cepat daripada masa yang ditetapkan.

4. Ambil Insuran Diri

Simpanan kecemasan adalah langkah yang terbaik bagi menjamin kelangsungan hidup pada masa hadapan. Namun, anda juga perlu memastikan diri anda diinsuranskan kerana ia lebih terjamin.

Anda perlu membuat sedikit ulangkaji dan tingkatkan pemahaman seperti perlindungan nyawa, rumah, kereta, bencana alam dan cacat kekal. Sila dapatkan ejen insuran yang bertauliah dan tidak membayar lebih untuk apa yang anda perlukan sahaja.

5. Buat Pelaburan Masa Hadapan

Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita berkenaan hampir 35% pengguna KWSP mempunyai simpanan bawah RM10,000 menjelang umur 54 tahun. Berita ini bukanlah satu berita yang baik di mana rata-rata masyarakat kita perlu berusaha untuk memastikan simpanan mereka cukup untuk bersara.

Di Malaysia, maklumat berkenaan pelaburan sangat kurang diberi pendedahan yang meluas dalam masyarakat kerana mereka meletakkan harapan tinggi pada simpanan KWSP sahaja.

Golongan muda kini perlu cakna berkenaan simpanan pelaburan bagi memastikan pengurusan kewangan mereka pada masa hadapan akan lebih terjamin dan teratur.

6. Fikir Cara Tambah Pendapatan Lain

Ramai di antara kita yang bersetuju bahawa kadar gaji minimum di Malaysia masih lagi tidak mencukupi disebabkan kos sara hidup yang meningkat. Secara tak langsung, ini mendesak masyarakat untuk lakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan lain.

Namun, sekarang lebih mudah kerana banyak syarikat yang menawarkan kerja sampingan di mana individu yang berminat akan ditawarkan tugasan bagi mendapat upah. Selain itu, ramai juga yang melibatkan diri dalam industri perniagaan atas talian.

Cumanya perlu berhati-hati disebabkan ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan peluang namun sebaliknya hanyalah modus penipuan yang boleh buatkan ramai terjebak masalah atau jenayah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat