US Dolar kekal stabil pada hari Isnin, namun dalam perjalanan untuk kerugian bulanan pertamanya pada tahun ini, kerana para pelabur memberi tumpuan kepada data inflasi dari AS, Eropah, dan Jepun untuk mengarahkan prospek kadar faedah global.
Beberapa pasangan utama kekal dalam julat ketat. Euro, yang mengukuh 0.9% berbanding US dolar pada minggu lalu, berada di tengah-tengah julat yang dipegangnya selama lebih setahun pada $1.0845.
Euro tidak banyak menunjukkan tindak balas terhadap tinjauan pada hari Isnin yang menunjukkan keyakinan perniagaan Jerman merosot pada bulan Mei, bertentangan dengan ramalan untuk peningkatan. Perdagangan pada hari Isnin kurang aktif kerana cuti di Britain dan Amerika Syarikat.
Data inflasi Jerman pada hari Rabu dan bacaan zon Eropah pada hari Jumaat akan diperhatikan untuk pengesahan pengurangan kadar Eropah yang direncanakan oleh ‘trader’ untuk minggu hadapan.
Ketua ahli ekonomi ECB, Philip Lane, berkata pada hari Isnin bahawa kadar di mana bank pusat mengurangkan kadar akan bergantung pada kekuatan inflasi asas.
Sterling sedang menguji bahagian atas julat yang dipegangnya tahun ini pada paras $1.2745. Bacaan pada hari Jumaat untuk indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi teras AS, ukuran inflasi pilihan Federal Reserve, dijangka stabil pada kiraan bulan-ke-bulan.
US Dolar telah mengalami penyusutan selepas data menunjukkan perlambatan kenaikan harga pengguna pada bulan April dan mengesahkan trend tersebut boleh menarik inflasilebih rendah lagi. Waima begitu gambaran besarnya adalah bahawa inflasi dan indikator inflasi tetap di atas sasaran 2% Fed.
Indeks US dolar, yang mengukur prestasi mata wang AS berbanding enam mata wang lain, terakhir turun sedikit pada 104.72. Ia berada di landasan untuk penurunan 1.5% pada bulan Mei, yang paling banyak dalam satu bulan sejak Disember.
“Pengurangan kadar faedah AS sebanyak 25 mata asas pada bulan September dianggarkan sebagai kemungkinan 50/50, dengan sejumlah 57 mata asas pengurangan dianggarkan menjelang Disember. Atas dasar itu kita memerlukan kejutan besar untuk mengubah anggaran itu,” kata ahli strategi Pepperstone, Christ Weston.
“Indeks PCE teras AS di atas 3% boleh melakukan perkara tersebut, dan itu akan membuat US dolar mengukuh, sementara bacaan di bawah 2.7% boleh memberikan kelegaan kepada pasaran,” katanya.
Sementara ketidakpastian kadar berterusan, pelabur mengejar pendapatan dan menjual mata wang berpulangan rendah seperti yen, yuan dan franc Swiss berbanding euro dan US dolar.
Yen mungkin mencatatkan keuntungan bulanan pertamanya tahun ini rentetan campur tangan yang disyaki dari pihak berkuasa Jepun pada akhir April dan awal Mei, namun ia telah merosot kembali sejak itu.
Ia kekal stabil pada 156.86 berbanding US dolar pada hari Isnin tetapi tidak mendapat banyak sokongan daripada peningkatan hasil bon kerajaan Jepun pada tempoh 10 tahun. Data CPI Tokyo, yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat, adalah panduan yang boleh dipercayai untuk dapatkan indikasi dan akan dipantau dengan teliti. Data kementerian kewangan pada hari Jumaat juga akan mendedahkan kadar campur tangan Jepun.
Langkah AS untuk memendekkan penyelesaian pasaran ekuiti dari dua hari kepada satu hari adalah faktor lain yang perlu diperhatikan dalam perdagangan mata wang minggu ini kerana peniaga menjangkakan ia mungkin mendorong perdagangan yang tenang di Asia.
Dalam pasaran mata wang kripto, Ethereum menutup kenaikan mingguan terbesar dalam hampir tiga tahun selepas kelulusan mengejut untuk beberapa permohonan dana yang diperdagangkan di bursa (ETF) AS.