Langkah agresif bank pusat untuk menaikkan kadar faedah akhirnya menolak ekonomi New Zealand ke dalam kemelesetan setelah penguncupan dua suku berturut-turut dicatatkan.
Data yang menghiasi sesi Asia, menunjukkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) jatuh 0.1% pada suku pertama 2023 (Januari-Mac) menyusuli penguncupan 0.7% yang disemak semula pada suku keempat 2022.
Dengan dua suku pertumbuhan negatif, negara itu secara rasmi jatuh ke dalam kemelesetan teknikal.
Pada asas tahunan pula, ekonomi New Zealand pula berkembang 2.2% pada suku pertama berbanding jangkaan pertumbuhan 2.6% dan 2.3% bacaan sebelumnya.
Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) adalah bank pusat yang pertama mula menaikkan kadar faedah apabila inflasi melonjak selepas wabak coronavirus melanda.
Sejak Oktober 2021, kadar tunai rasminya telah dinaikkan sebanyak 525 mata asas sehingga Mei ke paras tertinggi 14 tahun kepada 5.50%.
Pada mesyuarat polisi bulan lalu, RBNZ telah memberi isyarat bahawa kadar faedah sudah mencapai kemuncaknya, menandakan ia bersedia untuk hentikan kitaran pengetatan.
Malah, sebelum angka KDNK suku pertama itu dikeluarkan, bank pusat telah meramalkan negara akan mengalami kemelesetan pada suku kedua 2023.
Walaupun begitu, kelemahan itu tidak dilihat sebagai negatif oleh bank pusat, yang berkata ia memerlukan pertumbuhan ekonomi untuk perlahan bagi menurunkan inflasi.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.