OECD Kurang Optimis, Adakah Ekonomi Jerman Berada Dalam Keadaan Bahaya?

107

Ekonomi Jerman dijangka tumbuh sebanyak 0.6% pada tahun 2024 dan 1.2% pada tahun 2025, selepas sedikit susut pada tahun 2023. Ini berdasarkan ramalan dari Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang diterbitkan pada hari Rabu.

Ramalan OECD menunjukkan mereka kurang optimis berbanding dengan kerajaan Jerman yang menjangkakan pertumbuhan sebanyak 1.3% dan 1.5% pada tahun 2024 dan 2025, masing-masing.

Keputusan mahkamah perlembagaan hampir dua minggu lalu telah menghalang rancangan kerajaan untuk mengalihkan dana pandemik yang tidak digunakan kepada inisiatif hijau dan sokongan industri, meningkatkan kebimbangan bahawa ekonomi terbesar di Eropah itu boleh menjadi lebih perlahan.

“Adalah penting untuk menyelesaikan krisis bajet kewangan ini secepat mungkin bagi menghadirkan kepastian dan keyakinan kepada sektor syarikat dan isi rumah  pada masa hadapan,” kata ahli ekonomi OECD, Isabell Koske, kepada Reuters.

Beliau berkata penyelesaian tersebut harus termasuk pengurangan di bahagian perbelanjaan, peningkatan di bahagian pendapatan, dalam masa yang sama termasuk reformasi hutang, yang menetapkan had atas pinjaman baru. Ketidakpastian yang dihasilkan oleh keputusan mahkamah tentang dasar pembiayaan untuk menyokong firma dan pekerja semasa peralihan sektor hijau boleh memberi tekanan kepada pelaburan dan penggunaan peribadi, amaran OECD.

“Jika lebih banyak pengetatan fiskal diperlukan untuk mengekalkan pelan perbelanjaan dana di luar bajet, pertumbuhan GDP dan inflasi akan lebih rendah,” kata OECD.

Ekonomi Jerman dijangka menyusut sebanyak 0.1% pada tahun ini, kerana kadar faedah yang tinggi memberi tekanan kepada permintaan global untuk barangan pelaburan, yang membentuk bahagian besar eksport Jerman, kata OECD.

Kerajaan menjangkakan ekonomi akan menyusut sebanyak 0.4% pada tahun 2023. “Ekonomi Jerman sedang melalui fasa yang sukar,” kata Koske. Dalam masa yang sama OECD turut menekankan bahawa dalam dua tahun akan datang, bpenurunan inflasi dan kenaikan gaji akan menyokong pendapatan sebenar dan penggunaan peribadi, kata OECD.

Syarat kewangan yang lebih ketat, tekanan harga tenaga yang berkurang, dan pengetatan fiskal akan membantu menurunkan inflasi dari 6.2% pada tahun 2023 kepada 2.7% pada tahun 2024 dan 2.1% pada tahun 2025, berdasarkan ramalan tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat