OPEC+ Khabarnya Tidak Sehaluan, Habislah Harga Minyak!

1,127

Panel menteri OPEC+ dilaporkan masih tidak dapat mencapai kesepakatan sama ada mereka akan menangguhkan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran minyak pada Januari, menyebabkan harga minyak jatuh lebih 1% pada sesi Asia hari ini.

WTI Amerika Syarikat diperdagangkan susut 1.2% pada $44.97 setong, manakala minyak mentah Brent jatuh 1.1% kepada $47.70 setong.

Sebahagian besar daripada peserta dalam perbincangan tidak rasmi pada petang Ahad, menyokong untuk mengekalkan pengurangan pengeluaran pada tahap semasa sehingga suku pertama.

Namun, ketika Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak bersuara untuk meneruskan tahap pengeluaran semasa, Emiriah Arab Bersatu dan Kazakhstan dilaporkan telah menentang rancangan tersebut.

OPEC dan sekutunya, termasuk Rusia, atau lebih dikenali sebagai OPEC+ telah terikat dengan janji untuk memotong pengeluaran minyak mentah bagi mengimbangi pasaran yang dijejaskan oleh kelemahan permintaan akibat krisis pandemik Covid-19.

Kumpulan itu telah merancang untuk melonggarkan komitmen tersebut, namun disebabkan kebangkitan semula wabak coronavirus di seluruh dunia, pasaran menjangkakan mereka akan menangguhkan rancangan tersebut.

Tumpuan pasaran kini terarah kepada mesyuarat rasmi OPEC+ pada hari ini dan esok yang akan memutuskan sama ada akan menangguhkan rancangan untuk melonggarkan pemotongan pengeluaran minyak pada Januari 2021.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat