Panasonic Nak Tutup Kilang, Ramai Akan Dibuang?

26,106

Beratus-ratus pekerja Panasonic Malaysia Manufacturing Bhd mungkin bakal hilang pekerjaan selepas ia dilaporkan akan menutup lebih banyak operasinya di sini.

Memetik kepada laporan Malaysiakini, syarikat pembuatan Jepun itu dipercayai akan menutup kilangnya selepas pelbagai isu yang dihadapi termasuk kes tuntutan mahkamah sehingga menyebabkan pengarah eksekutif dan 15 pengurusnya diberhentikan.

Tambah laporan itu lagi, 500 pekerja Malaysia dan 95 kakitangan asing di Panasonic Appliances Refrigeration Devices Malaysia Sdn Bhd di Melaka kini terancam susulan kemungkinan ia akan ditutup sebelum akhir tahun ini.

Bukan itu sahaja, malah, Panasonic AVC Networks Johor Malaysia Sdn Bhd juga dilaporkan sedang merancang untuk menghentikan operasi menjelang penghujung 2023, namun tidak diketahui berapa ramai pekerja yang akan terkesan.

Panasonic umum penutupan dua jabatan di kilang Shah Alam

Sementara itu dalam pemfailan terbarunya kepada Bursa, Panasonic mengumumkan penutupan dua jabatan produk di kilang Shah Alam 1 (SA1).

Tindakan itu dibuat selaras dengan langkah rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan yang disiapkan pada 31 Mac 2023.

Walaupun begitu, penutupan kemudahan itu hanya melibatkan dua jabatan pembuatan produk sahaja, tiada loji atau jabatan lain akan terjejas.

Tambahnya lagi, sebilangan besar pekerja dalam jabatan yang terkesan telah diberikan pilihan Skim Pemisahan Bersama (MSS), dan sebahagian besar daripada mereka secara sukarela mengambil peluang ini.

Bagaimanapun, ia  menegaskan bahawa langkah penutupan itu tidak mempunyai kaitan dengan tuntutan mahkamah yang difailkan pada 2016 dan 2017, di mana ia dikatakan telah berjaya diselesaikan.

Panasonic lapor kejatuhan mendadak dalam keuntungan bersih suku keempat

Terdahulu, Panasonic melaporkan keuntungan bersihnya pada suku keempat yang berakhir 31 Mac 2023 merosot 53.42% kepada RM7.35 juta daripada RM15.78 juta setahun sebelumnya.

Ini susulan hasil yang lebih rendah, peningkatan kos operasi dan utiliti lebih tinggi dan bahagian keuntungan yang lebih lemah daripada syarikat bersekutunya.

Selain itu, hasil suku tahunan turun 6.34% kepada RM195.53 juta daripada RM208.77 juta pada suku tersebut, disebabkan jualan yang lebih rendah apabila perniagaan periuk nasi dan perkakas dapur syarikat itu dihentikan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat