US dolar kembali merosot selepas gagal meneruskan kenaikannya pada sesi terdahulu ketika pelabur semakin tidak senang duduk menjelang keputusan dasar pertama Federal Reserve (Fed) untuk tahun ini.
Raja mata wang itu melonjak ke paras tertinggi satu minggu dalam dua sesi pada Selasa, sebelum keuntungan kembali berkurangan apabila pasaran melangkah masuk ke sesi New York.
Ini susulan data indeks kos pekerjaan Amerika Syarikat (ukuran buat kos buruh) mencatat peningkatan 1.0% pada suku keempat daripada 1.2% suku sebelumnya, sekaligus memberi isyarat penurunan tekanan harga berterusan di AS.
Bagaimanapun, ia tidak dilihat akan mempengaruhi keputusan Fed dalam penetapan kadar faedah selanjutnya.
Dolar Kanada adalah antara mata wang yang paling kukuh dengan memadamkan kesemua keuntungan USD ekoran data keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kanada yang menepati jangkaan dengan berkembang 0.1% pada November.
Sementara itu, euro menghapuskan beberapa kerugian yang dicatatkan daripada kebangkitan USD selepas data KDNK Zon Eropah menunjukkan ekonomi meningkat pada kadar tahunan sebanyak 1.9% pada suku keempat, lebih baik daripada jangkaan pertumbuhan 1.8% pasaran.
Mata wang pound pula kekal melemah di tengah-tengah kewaspadaan pasaran menjelang mesyuarat Bank of England (BOE) pada Khamis.
Pada masa yang sama, pelabur turut memberi tumpuan kepada perkembangan rundingan pasca-Brexit antara Kesatuan Eropah (EU) dan UK.
Di sisi lain, dolar Aussie sedikit meningkat manakala dolar kiwi pula kecundang ekoran data pekerjaan New Zealand yang mengecewakan pada suku lepas.