Pasaran Berubah Arah Menjelang CPI AS, Ini Yang Berlaku Pada USD

776

Dagangan awal minggu pada Isnin semalam menyaksikan pengunduran harga berlaku pada carta-carta utama berikutan perubahan yang berlaku ke atas corak pergerakan mata wang US dolar.

US dolar menunjukkan pemulihan awal selepas berterusan alami penyusutan nilai sepanjang minggu lalu dengan data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terbaru yang hadir mencadangkan langkah pelonggaran dasar oleh Federal Reserve (Fed) yang perlu dilaksanakan.

Indeks dolar (DXY) sedikit pulih untuk meningkat ke sekitar 102.90 mata manakala hasil perbendaharaan 10-tahun AS berlegar berhampir paras 4.10%.

Pasaran kini memberi tumpuan kepada laporan data inflasi pengguna AS yang akan diterbitkan di sesi New York malam ini.

Ramalan untuk bacaan indeks harga pengguna (CPI) tahunan adalah kekal di paras 3.1% untuk Februari.

Pelabur akan bersedia menjangkakan pergerakan drastik untuk berlaku pada US dolar sekitar data tersebut diterbitkan.

Ini adalah disebabkan data CPI tersebut menjadi indikator utama kepada Fed dalam menentukan hala tuju dasar monetari mereka lebih jelas.

Ketika ini, jangkaan pasaran masih kekal untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Fed untuk berlaku pada bulan Jun.

Pengerusi Fed Jerome Powell sebelum ini telah memaklumkan langkah tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini, cuma tidak menyatakan tempoh waktunya.

Tindakan penetapan dasar bank pusat akan bergantung kepada data yang hadir. Justeru, pergerakan pasaran akan terus tidak menentu dan berisiko buat para pelabur.

Corak kenaikan nilai pada mata wang utama dalam pasaran mula terbantut apabila US dolar menunjukkan pemulihan semula semalam.

Namun, Yen dilihat antara mata wang yang berjaya mengekang kemaraan US dolar yang disokong oleh jangkaan bahawa bank pusat Jepun (BOJ) semakin hampir untuk keluar dari dasar kadar faedah negatif sebelum ini.

Dagangan emas kekal menjadi tumpuan ketika harga semasa berlegar di paras tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah. Namun pergerakan emas semalam sekadar mendatar di sekitar $2,180.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat