Pasaran Risk On Tapi Tragedi Pagi Mengubah Pendirian Pelabur

261

Ekuiti alami detik terbaiknya dengan data indeks harga pengeluar (PPI) yang lemah memberi kelebihan, namun berita tentang peluru berpandu Rusia yang menghentam Poland dan mengakibatkan 2 kematian menggusarkan pelabur.

Semasa sesi New York, saham kembali memasuki rali dengan hasil Perbendaharaan susut selepas data PPI menyaksikan peningkatan 0.2% pada Oktober iaitu bacaan sama seperti bulan sebelumnya sementara unjuran pasaran pada 0.4%.

Pada asas tahunan, PPI dilihat berkembang 8.0% namun turun dari catatan bulan sebelum pada 8.4% dan tersasar daripada ramalan pasaran pada 8.3%.

Data terbaru tersebut, diapit bacaan inflasi Amerika Syarikat (AS) minggu lepas, mengukuhkan harapan pelabur bahawa Federal Reserve (Fed) mungkin kurang agresif dengan dasar pengetatannya.

Hasilnya, Dow Jones Industrial naik 0.17% pada 33,592.92 sementara S&P 500 canak 0.87% pada 3,991.73 dan Nasdaq Composite raih 1.45% pada 11,358.41.

Namun, situasi tampak berubah awal pagi ini dengan berita letupan di sebuah kampung berdekatan sempadan Poland dan Ukraine sehingga mengorbankan 2 nyawa telah mengeruhkan krisis ketegangan geopolitik.

White House melaporkan kejadian berlaku akibat daripada pelancaran 2 buah peluru berpandu dan pihak Rusia menafikan penglibatannya dalam serangan tersebut.

Ekoran itu keadaan saham di rantau Asia dibuka bercampur dengan Nikkei 225 dan Topix Jepun mendatar sementara Kospi Korea Selatan tinggi dan Kosdaq tambah 0.13%.

Di Australia, indeks S&P/ASX 200 Australia susut 0.22% dan tolok meluas MCSI Asia Pasifik mendatar.

Ulas Marc Chandler dari Bannockburn Global Forex, pasaran masih lagi boleh dianggap risk-off dengan berita Rusia ini dilihat menenggelamkan input positif di AS.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat