Pasaran Saham Asia Kembali Meriah, Bursa Malaysia Tinggi ‘Menghijau’!

264

Bursa Malaysia kembali mengekalkan nada positifnya pada pertengahan sesi Isnin sejajar dengan prestasi cemerlang bursa serantau.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.95 mata (0.64%) kepada 1,557.52 berbanding 1,547.57 pada penutup Jumaat lalu. Indeks penanda aras dibuka satu mata lebih kukuh pada 1,548.57.

Sentimen pasaran meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 656 berbalas 320. Manakala, 377 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak dua billion unit yang bernilai RM1.24 billion.

Menurut ulasan Malacca Securities Sdn Bhd, para peniaga kini memberi tumpuan kepada beberapa acara penting terutamanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang akan diterbitkan pada Khamis ini.

Selain itu, laporan pendapatan korporat utama seperti Tesla, Meta, Microsoft dan Alphabet akan dikeluarkan pada minggu ini.

Dalam pasaran tempatan, para pelabur mungkin akan memberi tumpuan kepada sektor yang defensif seperti utiliti dan pengguna. Mereka memihak kepada saham terpilih dalam sektor automotif dan perkapalan.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd percaya bahawa KLCI boleh diperkukuhkan lagi sehingga penembusan pada kawasan 1,558 hingga 1,565 sebagai paras rintangan.

Para pelabur dalam unit tempatan juga perlu memperhatikan berita terkini berkenaan ketegangan geopolitik, peralihan dalam dasar pemotongan kadar oleh Federal Reserve (Fed) , keputusan data-data ekonomi AS pada suku pertama 2024 serta kelemahan prestasi mata wang Ringgit Malaysia (RM).

Sementara itu, kalangan saham wajaran tinggi seperti Maybank Bhd menokok 10 sen kepada RM9.75, Public Bank Bhd naik empat sen kepada RM4.19, CIMB Group Holdings Bhd menokok lima sen kepada RM6.61 dan Tenaga Nasional Bhd meningkat enam sen kepada RM11.66, manakala Petronas Chemicals Group Bhd susut satu sen kepada RM6.82.

Bagi saham aktif, Keyfield International Bhd meningkat 96 sen kepada RM1.86, Bina Puri Holdings Bhd susut setengah sen kepada 7.5 sen, Pan Malaysia Holdings Bhd meningkat dua sen kepada 23 sen dan Ancom Logistics Bhd meningkat 3.5 sen kepada 21.5 sen. Manakala, Ingenieur Gudang Bhd tidak berubah pada 14.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 75.11 mata kepada 11,671.18, Indeks FBM 70 meningkat 91.79 mata kepada 16,150.18, Indeks FBMT 100 melonjak 70.25 mata kepada 11,318.2, Indeks FBM Shariah meningkat 62.17 mata kepada 11,832.04 dan Indeks FBM ACE meningkat 46.12 mata kepada 4,905.1.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.66 mata kepada 185.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 140.21 mata kepada 17,258.99, Indeks Tenaga naik 6.48 mata kepada 975.67 dan Indeks Perladangan memperoleh 44.31 mata kepada 7,419.96.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat