Dalam suasana pasaran yang masih bercampur-campur hingga menuju ke penghujung minggu ini, mata wang US dolar dilihat kembali paparkan pengukuhan semula berbanding beberapa mata wang utama seperti Euro dan Yen pada sesi New York semalam.
Selepas bergerak suram sebelum ini, US dolar kembali kukuh menyaksikan hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tertinggi 16 tahun, melepasi paras 4.90%.
Berdasarkan faktor fundamental bank pusat, Federal Reserve (Fed) dilihat masih dalam fasa untuk mengetatkan dasar monetari, namun tumpuan pasaran ketika ini juga terarah pada pergolakan di Timur Tengah yang boleh memberi impak terhadap pasaran global.
Sentimen pasaran yang bergelora sebelum ini sedikit diredakan dengan data-data ekonomi China diterbitkan Rabu semalam catat bacaan yang memberangsangkan untuk beberapa komponen utama termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengeluaran perindustrian dan jualan runcit.
Mata wang Eropah kembali alami penyusutan seperti ramalan oleh penganalisis berkenaan risiko tersebut.
Dolar Australia menyambung terjunan di sesi Asia pagi ini (Khamis) dengan tumpuan diberikan kepada laporan pekerjaan Australia yang telah diterbitkan.
Pertambahan pekerjaan di Australia pada September adalah sangat perlahan dengan angka hanya 6,700 dicatatkan, lebih rendah berbanding ramalan 20,6000. Sementara kadar pengangguran sedikit baik, menurun kepada 3.6% berbanding ramalan untuk kekal pada 3.7%.
Sementara, dolar New Zealand pula diperhatikan telah jatuh lebih rendah berbanding US dolar ke paras terendah sejak November tahun lepas.
Pasaran komoditi, harga minyak mentah stabil seketika selepas paparkan lonjakan dengan minyak WTI AS berada sekitar paras $87.00 setong dan minyak Brent pada $90.00 setong.
Dagangan emas pula terus mengekalkan kecemerlangan sepanjang minggu ini dengan kenaikan harga terbaru semalam telah mencapai paras $1,962 per auns, tertinggi 11 minggu.