Pasaran Tiada Arah Tuju, Berita Dari China Gagal Rangsang Reaksi Mata wang

183

Pergerakan mata wang kekal tidak menentu apabila melangkah masuk ke sesi Eropah walaupun terdapat faktor positif dari pembukaan semula pasaran di China selepas seminggu bercuti.

China pada hujung minggu telah berjanji untuk menggalakkan pemulihan penggunaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan peningkatan import negara itu.

Ini membantu mata wang yuan untuk didagangkan lebih kukuh pada pembukaan pasaran hari ini susulan laporan yang menunjukkan perjalanan domestik dan perbelanjaan pulih dengan ketara sepanjang minggu lalu.

Walaupun begitu, dolar Aussie dan New Zealand yang sensitif kepada ekonomi China, gagal mempamerkan peningkatan daripada sentimen tersebut, sebaliknya didagangkan merosot berbanding US dolar.

Pergerakan berbeza pula dipaparkan oleh mata wang euro yang sedikit meningkat pada awal sesi, dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada data inflasi Zon Eropah dan mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB).

Mata wang pound pula kekal mendatar di tengah-tengah kewaspadana pelabur menjelang mesyuarat polisi Bank of England (BOE).

Dalam pada itu, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama pula tidak berubah sekitar harga 101.95.

Jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan memperlahankan kenaikan kadar faedahnya terus membataskan dagangan raja mata wang itu.

Pasaran dijangka terus perlahan sehingga sesi New York berikutan ketiadaan data dan pemangkin utama untuk merangsang pergerakan ketara mata wang di awal minggu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat