Pekat Intai Peluang Senarai Masuk Pasaran ACE

403

Firma pengkhususan dalam solar fotovoltaik (PV) dan perlindungan pembumian serta kilat (ELP), Pekat Group Bhd menyasarkan untuk disenaraikan dalam Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

Menurut kenyataan syarikat berkenaan, firma terbabit menjelaskan susulan langkah tawaran awam awal (IPO), Pekat telah menandatangani perjanjian penajajaminan dengan M&A Securities Sdn Bhd semalam.

Menurut pengarah urusannya, Chin Soo Mau, pemeteraian perjanjian berkenaan bukan sahaja menunjukkan keyakinan terhadap Pekat malah membawa syarikat untuk lebih dekat ke arah penyenaraian di bursa saham tempatan.

“Penyenaraian ini akan membolehkan kami memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpulkan dana bagi membina ibu pejabat dan kemudahan operasi baharu memandangkan kami sedang mengembangkan perniagaan solar PV dan ELP,” katanya dalam kenyataan terbabit seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambah Soo Mau, hasil IPO itu secara amnya akan digunakan untuk memperluaskan operasi Pekat dalam usaha memanfaatkan pertumbuhan industri solar akan datang, sekali gus membantu syarikat tersebut mengembangkan kemampuannya.

IPO itu melibatkan penerbitan 138.67 juta saham baharu dalam Pekat yang mewakili 21.5% daripada modal saham terbitan keseluruhan.

Mengikut perjanjian tersebut, M&A Securities menaja jamin sejumlah 48.37 juta saham baharu yang disediakan untuk orang awam negara ini dan para pengarahnya yang layak, pekerja serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Baki 90.30 juta saham baharu pula akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih.

Pemegang saham utama Pekat termasuk Hextar Holdings Sdn Bhd yang merupakan pemegang saham utama Hextar Global Bhd yang disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat