Pelabur Murung Bursa Saham Jepun Ditutup

439

Bursa saham Jepun, termasuk indeks Nikkei 225 terpaksa ditutup selama sehari ekoran masalah teknikal.

Walau bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan Japan Exchange Group tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai punca kejadian dan tidak menyatakan bilakah aktiviti dagangan akan bersambung semula.

Aktiviti dagangan turut dihentikan seketika di Nagoya, Fukuoka dan Sapporo.

Pihak berkuasa tempatan tidak menemukan sebarang bukti bahawa masalah itu terjadi akibat serangan siber.

“Urusan dagangan semua saham di Bursa Saham Tokyo ditangguhkan ekoran gangguan yang berkaitan dengan penyampaian maklumat pasaran,” kata Japan Exchange Group dalam kenyataan berkenaan.

Pasaran saham Jepun merupakan yang ketiga terbesar di dunia selepas New York dan Shanghai.

Masalah teknikal tersebut mengecewakan sesetengah para pelabur yang menjangkakan pasaran akan melonjak semula selepas debat Presiden Amerika Syarikat telah mengakibatkan Nikkei 225 menyusut sebanyak 1.5% semalam.

Penangguhan itu adalah yang pertama kali berlaku sejak 2018, apabila masalah sistem dagangan menyebabkan beberapa firma sekuriti gagal membuat pembelian ketika itu.

Indeks Nikkei 225 meliputi saham beberapa syarikat besar Jepun seperti Honda, Nissan, Hitachi dan Canon.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat