Pelabur Terkedu! Keputusan RBA Tidak Seperti Dijangkakan

595

Pertemuan pertama penggubal dasar untuk tahun ini dalam mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) berakhir dengan bank pusat mengekalkan kadar faedah dan sasaran hasil bon kerajaan 3 tahun pada 0.10%.

Walau bagaimanapun, tidak seperti yang dijangkakan oleh pasaran, bank pusat memutuskan untuk memperluaskan lagi program pembelian bon sebanyak $100 bilion dari pertengahan April untuk membantu menyokong pekerjaan dan meningkatkan inflasi.

Kenyataan bank pusat untuk membeli lebih banyak bon telah mendorong penurunan hasil bon 10 tahun kepada 1.115%, selepas melonjak ke tahap tertinggi 10 bulan 1.19% pada awal sesi.

Keputusan ini turut mendorong penyusutan dagangan dolar Aussie setelah meningkat pada awal sesi Asia.

Sementara itu, dalam ucapan Gabenor Philip Lowe susulan keputusan RBA hari ini, beliau memberitahu bahawa pemulihan ekonomi sedang berjalan dan lebih kuat dari yang dijangkakan sebelum ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan meningkatkan kadar faedah sehingga sasaran pekerjaan dan inflasi 2-3% dapat dicapai.

Selain itu, Gabenor Lowe juga mengatakan tetapan dasar monetari semasa terus membantu ekonomi dengan menurunkan kos pembiayaan untuk peminjam, menyumbang kepada kadar pertukaran yang lebih rendah dan menyokong penawaran kredit.

Dalam pada itu, RBA dapat melihat senario bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Australia diramalkan meningkat 3.5% pada tahun 2021 dan 2022 dan pertumbuhan dijangka kembali ke tahap akhir 2019 pada pertengahan tahun ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat