Pemain Pasaran Dalam Berjaga-jaga Menanti Data Inflasi AS

315

Dolar greenback sedikit meningkat ketika sesi dagangan Asia selepas berjaya memulihkan beberapa kerugian pada sesi sebelumnya.

Walau bagaimanapun, pergerakan US dolar secara keseluruhannya dilihat mendatar berikutan kewaspadaan pasaran menjelang penerbitan data inflasi Amerika Syarikat.

Indeks harga pengguna AS dijangka menunjukkan tekanan harga mulai mereda pada bulan Julai yang pastinya akan mempengaruhi jangkaan pelabur untuk melihat satu lagi kenaikan bersaiz besar dalam kadar faedah Federal Reserve (Fed).

Jangkaan yang lebih tinggi untuk kenaikan kadar yang agresif, telah memacu hasil perbendaharaan jangka pendek lebih jauh ke atas berbanding hasil jangkan panjang.

Jurang antara hasil Perbendaharaan dua dan 10 tahun yang menjadi petunjuk kemelesetan, telah meluas kepada yang terbesar dalam dua dekad.

Sementara itu, mata wang euro terus berlegar di sekitar harga yang sama pada 1.0200 berbanding US dolar sementara dagangan pound juga mendatar dengan tumpuan pelabur terarah kepada penerbitan data pertumbuhan ekonomi UK pada hari Jumaat.

Terbaharu dalam krisis tenaga Eropah, terdapat berita mengenai Rusia yang dilaporkan telah menggantung aliran minyak mentah pada saluran paip Druzhba ke beberapa negara Eropah tengah berikutan isu pembayaran transit.

Krisis yang dihadapi Eropah dilihat akan terus membebankan dagangan mata wang euro dan pound, lebih-lebih lagi Kesatuan Eropah (EU) yang sangat bergantung kepada tenaga Rusia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat