Penat Mendaki Ke Puncak Tertinggi, US Dolar Ambil Nafas Dahulu

231

Pengukuhan mata wang gergasi US dolar sedikit mereda setelah dibuka lebih tinggi pada sesi dagangan Asia hari ini, melihatkannya didagangkan merosot berbanding pesaing utama.

Walaupun institut kewangan dan pasaran bon Amerika Syarikat dan Kanada ditutup pada hari Isnin sempena cuti Hari Buruh, raja mata wang itu berhasil melonjak ke paras ketinggian terbaharu 20 tahun berikutan sentimen berisiko yang membelenggu pasaran.

Antara faktor utama yang mengheret pasaran ke lautan merah adalah tindakan Rusia yang enggan membuka semula saluran paip gas Nord Stream 1 yang pada mulanya ditutup atas alasan penyelenggaraan sejak 31 Ogos.

Hal ini telah mengakibatkan mata wang euro menderita dan menjunam ke paras terendah terbaharu 20 tahun pada Isnin, dihimpit kebimbangan bahawa kemelesetan Eropah akan melanda lebih cepat daripada dijangkakan.

Sementara itu di UK, Liz Truss berdepan cabaran sukar untuk menyelamatkan ekonomi Britain setelah beliau berjaya memenangi jawatan perdana menteri baharu dengan mengalahkan bekas menteri kewangan Rishi Sunak.

Ekoran kemenangan tersebut, dagangan pound didagangkan lebih tinggi dengan mendahului pasangan mata wang G10 yang lain, disokong oleh harapan terhadap rangsangan Liz Trus untuk mengurangkan tekanan harga di negara itu.

Di sisi lain, dolar Aussie diniagakan sedikit meningkat tetapi pelabur tetap berwaspada menjelang mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) pada sesi dagangan hari ini.

RBA diramal akan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas, namun apa yang lebih menjadi tumpuan adalah kenyataan susulan daripada bank pusat itu mengenai hala tuju penetapan dasar seterusnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat