Pengganti Warren Buffett Telah Diketahui

1,490

Warren Buffett mengesahkan Naib Pengerusi Berkshire Hathaway, Greg Abel akan menggantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Buffett membangunkan Berkshire Hathaway daripada sebuah firma pembuat tekstil yang gagal kepada syarikat pelaburan besar bernilai AS$628 bilion.

Meskipun usianya sudah menjengah 90 tahun, Buffett tidak memberi petunjuk bahawa beliau akan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi selama lebih satu dekad tentang calon yang akan menggantikan beliau.

“Para pengarah bersetuju sekiranya apa-apa berlaku kepada saya malam ini, Abel akan mengambil alih pada pagi esok,” kata Buffett kepada CNBC.

Abel membantu membangunkan unit tenaga Berkshire Hathaway menjadi pembekal tenaga utama Amerika Syarikat (AS).

Sejak 2018, Abel dilantik menjadi naib pengerusi dan mengawasi perniagaan bukan insurans Berkshire Hathaway.

Berkshire Hathaway memiliki lebih 60 buah syarikat, termasuklah syarikat insurans Geico, pembuat bateri Duracell dan rangkaian restoran Dairy Queen.

Firma terbabit juga memiliki kepentingan utama dalam Apple, Coca Cola, Bank of America dan American Express serta pelbagai lagi syarikat.

Pada Mac lalu, Buffett menyertai kelab eksklusif AS$100 bilion selepas saham Berkshire Hathaway memecah rekod paras tertinggi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat