Penggubal Dasar ECB Cadang Tiga Kenaikan Kadar Faedah Tahun Ini!

187

Penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB), Robert Holzmann mengatakan bahawa bank pusat perlu menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali pada tahun ini untuk memerangi inflasi.

Holzmann menyatakan pandangannya dalam temu bual bersama akhbar Salzburger Nachrichten bahawa adalah wajar untuk meningkatkan kadar sekurang-kurangnya sebanyak dua atau tiga kali.

Beliau turut mengatakan walaupun dengan kenaikan lebih kecil seperti 0.25% dalam setiap keputusan, ia akan mengembalikan kadar deposit untuk bank ke arah positif menjelang 2023 yang kini pada -0.5%.

Dalam pada itu, Holzmann juga mengakui bahawa bank pusat itu sepatutnya mengambil tindakan lebih awal untuk membendung inflasi. Namun, beliau berpendapat adalah wajar untuk ECB bertindak kemudian selepas Federal Reserve AS.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa bank pusat itu tidak mengejar sasaran kadar pertukaran memandangkan US dolar kini jauh lebih kuat berbanding euro. Bagaimanapun, mereka akan memerhatikannya dengan teliti dan mengambil kira faktor tersebut dalam keputusan mereka.

Sejak akhir-akhir ini, beberapa pembuat dasar ECB telah menjadi lantang bersuara mengenai usaha untuk menormalkan dasar monetari dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan sebelum ini.

Hal ini membuatkan semakin ramai penganalisis melihat bahawa bank pusat itu akan menaikkan kadar faedah secepatnya pada bulan Julai.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat