Pemain pasaran terus menguatkan pegangan terhadap raja mata wang US dolar di tengah keyakinan yang meningkat untuk kenaikan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Pada sesi Asia, US dolar kekal di paras tertinggi sejak Mei 2020 ketika optimisme terhadap rundingan Ukraine-Rusia gagal merangsang peningkatan mata wang utama.
Perunding Ukraine Mikhail Podolyak mengatakan rundingan damai akan disambung semula pada Selasa selepas ia dihentikan sementara pada awal minggu. Namun serangan Rusia masih lagi berterusan.
Jurucakap Kremlin mengatakan bahawa semua rancangan Rusia di Ukraine akan dipenuhi sepenuhnya dan dalam jangka masa yang digariskan.
Menurut laporan terbaharu, Rusia mungkin menghentikan eskport bijirin seperti gandum, jagung dan barli, sementara Moscow dan Belarus akan berhenti membayar bekalan tenaga dalam US dolar.
Ini pastinya akan meningkatkan lagi pengetatan dalam bekalan makanan dan mendorong lonjakan harga lebih tinggi.
Euro bergerak mendatar seiring dengan pergerakan US dolar, sementara mata wang pound pula susut lebih rendah meskipun terdapat jangkaaan bahawa Bank Pusat England (BOE) akan menaikkan kadar faedahnya pada mesyuarat polisi minggu ini.
Sementara mata wang yen terus melemah di paras terendah lima tahun berbanding dolar greenback ekoran peningkatan hasil bon AS 10 tahun ke tahap tertinggi sejak Jun 2019 pada 2.15% berikutan jangkaan pengetatan oleh Fed.
Dalam pada itu, lonjakan kes Covid-19 di China sehingga menyebabkan beberapa bandar utama di bawah perintah berkurung sedikit mempengaruhi sentimen pasaran, memperlihatkan mata wang sensitif risiko dolar Aussie dan kiwi didagangkan suram.