Menghiasi pembukaan pasaran sesi Eropah adalah penerbitan data PMI pembuatan dan perkhimatan dari Zon Eropah dan UK yang memperlihatkan bacaan bercampur-campur pada bulan Mac.
Kedua-dua sektor mula menunjukkan pertumbuhan yang perlahan di Zon Eropah pada bulan lalu kerana mungkin terkesan dengan gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan kekacauan daripada perang Ukraine-Rusia.
Aktiviti pembuatan Jerman merosot ke paras terendah tiga bulan, tetapi masih lagi menunjukkan pengembangan. Sentimen dalam sektor ini dibelenggu oleh kebimbangan daripada peningkatan tekanan inflasi dan perang di Eropah Timur.
Sementara aktiviti perkhidmatan juga menunjukkan pengurangan di Jerman, tetapi lebih kukuh di Perancis. Ketidakpastian dalam kekangan bekalan dan penurunan permintaan eksport berikutan perang di Ukraine sedikit mempengaruhi pertumbuhan.
Meskipun begitu, mata wang euro sedikit meningkat sebagai reaksi awal kepada penerbitan data-data tersebut dengan terus didagangkan di sekitar harga 1.100 berbanding US dolar yang kukuh.
Seterusnya, meneliti bacaan data yang diterbitkan dari UK, sektor pembuatan terus menunjukkan kelembapan dengan merosot ke paras terendah 13 bulan pada Mac.
Ini dipengaruhi oleh pengeluaran pembuatan meningkat pada kadar paling lemah sejak 2021 dengan pertumbuhan sangat dipengaruhi oleh kekurangan bekalan dan tekanan inflasi yang semakin meningkat berikutan perang di Ukraine.
Sebaliknya, aktiviti perkhidmatan pula meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh sembilan bulan, di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi selanjutnya daripada penutupan Covid-19.
Reaksi awal menunjukkan mata wang pound sedikit berubah selepas tergelincir rendah sebelum penerbitan data, menyaksikannya didagangkan pada sekitar harga 1.3100 berbanding USD.