Pertama Kali Catat Penguncupan Sejak 2011, Ekonomi Australia Diancam Kemelesetan

470

Setelah dilanda oleh bencana kebakaran hutan dan krisis pandemik coronavirus, ekonomi Australia buat pertama kalinya dalam tempoh 9 tahun, merekodkan pertumbuhan negatif pada suku pertama tahun 2020.

Biro Statistik Australia (ABS) melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Australia menguncup sebanyak 0.3% pada suku pertama 2020, setelah merekodkan pertumbuhan 0.5% pada suku sebelumnya. Sementara secara tahunan, bacaan yang dicatatkan menepati jangkaan dengan pertumbuhan 1.4% daripada 2.2%.

Ini merupakan penguncupan pertama yang direkodkan dalam pertumbuhan ekonomi sejak suku Mac 2011. Namun, bacaan yang dicatatkan adalah lebih baik daripada jangkaan pasaran untuk menguncup sebanyak 0.4%.

Menurut ABS, antara faktor utama yang menyumbang kepada penguncupan pada suku pertama adalah kejatuhan drastik dalam penggunaan isi rumah, sementara perbelanjaan awam kerajaan pula meningkat 2%.

Data yang diterbitkan ini, bagaimanapun, masih tidak menunjukkan kesan sepenuhnya dari sekatan terhadap ekonomi yang dilaksanakan pada awal Mac untuk mengekang penularan coronavirus.

Ketua Ekonomi ABS, Bruce Hockman memberitahu bahawa ekonomi telah bertumbuh dengan perlahan sebelum wabak coronavirus memaparkan kesan sepenuhnya, di mana ia dapat dilihat pada bulan April dan Mei ketika sekatan dilakukan secara keseluruhan.

Hal ini menguatkan lagi jangkaan oleh Perbendaharaan dan Reserve Bank of Australia (RBA) yang meramalkan bahawa ekonomi akan mengalami pertumbuhan terburuk sejak 1930 an, pada suku kedua tahun ini.

Dua penguncupan berturut-turut bermaksud Australia akan mengalami kemelesetan teknikal pertama yang pernah direkodkan sejak awal tahun 1990 an.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat