“Hmm rasa-rasa harga BTC akan turun lagi bawah tak?”
Bitcoin (BTC) merudum di bawah $42,500 apabila Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell memberi komen yang agak hawkish semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada pukul tiga pagi tadi biarpun terdapat harapan mengenai pemotongan kadar faedah.
Dilaporkan, Fed mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 5.25% sehingga 5.5%, jadi para pelabur lebih berminat bagi memantau petunjuk tentang bila bank pusat Amerika Syarikat (AS) mungkin menurunkan kadar faedah susulan ramai menjangkakan ia akan berlaku pada Mac 2024.
Namun, Powell berpandangan jawatankuasa Fed tidak akan mencapai tahap keyakinan yang tinggi untuk mengenal pasti sama ada Mac adalah bulan sesuai bagi pemotongan kadar faedah.
Menurut Alex Krüger, penganalisis makro dan co-founder Asgard Markets berkata bahawa pemotongan kadar faedah mungkin bermula pada bulan Mei atau Jun 2024 dan bukanlah Mac susulan ia agak awal untuk dilakukan.
Manakala Ketua Pasaran YouHodler Ruslan Lienkha pula berpendapat sebarang tanda-tanda hawkish dapat mencetuskan pembetulan harga dalam pasaran saham dan sebagai akibatnya, aset berisiko seperti BTC mampu melihat aliran keluar modal secara ketara.
Meskipun begitu, pergerakan BTC ke arah bawah mungkin tidak drastik susulan aset digital tersebut sentiasa berlegar antara $44,000 dan $42,000 tanpa arah yang jelas, ulas penganalisis Swissblock dalam laporan pasaran Rabu.
Sehingga berita in ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 1.90% pada paras $42,014 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $824 bilion tetapi masih mencatatkan lonjakan 4.72% sepanjang minggu lepas.