Prestasi Wall Street Lemah Dorong Bursa Malaysia Dibuka Rendah

263

Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan pagi tadi ekoran prestasi semalaman Wall Street yang merosot. Ia disebabkan oleh para pelabur mengambil langkah berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat dan China.

Pagi tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.51 mata kepada 1,445.31 berbanding ia ditutup pada Rabu dengan nilai 1,445.82. Indeks utama kini dibuka 2.93 mata lebih rendah pada paras 1,442.89.

Sentimen harga pasaran dilihat agak bercampur-campur dengan menyaksikan sebanyak 147 kaunter untung berbalas 132 kaunter rugi. Manakala, 238 kaunter tidak berubah, 1,805 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung. Hasil jumlah dagangan sebanyak 212.34 juta unit yang bernilai RM 82.49 juta.

Data pekerjaan AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat ini menyebabkan ramai pelabur mengambil langkah berhati-hati.

Pasaran Wall Street ditutup rendah walaupun terdapat tanda-tanda pasaran pekerjaan yang perlahan selepas firma pemprosesan gaji ADP menunjukkan pekerjaan sektor swasta di AS meningkat tetapi kurang daripada jangkaan pada bulan November.

China juga akan mengeluarkan angka dagangan bulan Novembernya pada hari ini.

Naib Presiden Penyelidikan ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berpendapat aktiviti memburu saham baru-baru ini mengunjur indeks berlegar dalam julat 1,445-1,455 hari ini.

Kaunter wajaran tinggi Maybank dan Public Bank pulih sederhana, masing-masing naik satu sen kepada RM9.01 dan RM4.26. CIMB susut dua sen kepada RM5.73 dan Tenaga Nasional turun lima sen kepada RM9.94 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.03.

Bagi kaunter paling aktif, Classita kerugian setengah sen kepada 5.0 sen manakala CPE Technology yang baharu disenaraikan susut 11.5 sen kepada 95.5 sen. Leform dan PUC pula tidak berubah, masing-masing mencatatkan 35 sen dan 4.0 sen.

Indeks FBM 70 berkurangan 0.91 mata kepada 13,974.85, dan Indeks ACE FBM kehilangan 23.57 mata kepada 5,118.13.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat