RBNZ Kekalkan Kadar Faedah Pada 0.25%, Dolar NZD Menjunam

355

Pada mesyuarat polisi monetari kedua yang dijadualkan untuk tahun ini, Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) hari ini memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah pada paras terendah 0.25% pada bulan Mei.

Selain itu, seperti yang dijangkakan oleh pasaran, jawatankuasa polisi monetari telah bersetuju untuk memperluaskan program Pembelian Aset Skala besar (LSAP) secara signifikan kepada $60 bilion daripada $33 bilion yang ditetapkan sebelum ini.

Program LSAP turut merangkumi bon kerajaan New Zealand, Obligasi Badan Pembiayaan Kerajaan Tempatan dan, terbaru, Bon Indeks Kerajaan New Zealand.

Gangguan ekonomi global yang disebabkan oleh pandemik coronavirus dijangka akan berterusan dan menyebabkan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan inflasi yang lebih rendah di New Zealand dan di luar negara.

Walaupun New Zealand berjaya membendung penularan wabak coronavirus yang lebih meluas dalam negara, kekurangan dalam aktiviti ekonomi global boleh menyebabkan permintaan yang lebih rendah untuk eksport negara.

Sehubungan itu, jawatankuasa polisi monetari bersetuju bahawa peningkatan dalam program LSAP merupakan langkah yang paling berkesan untuk memberikan rangsangan lebih lanjut buat masa ini.

Selain itu, ahli jawatankuasa turut menyatakan bahawa kadar faedah negatif akan menjadi pilihan pada masa akan datang. Bagaimanapun, institusi kewangan dikatakan masih belum bersedia beroperasi untuk kadar negatif.

Namun begitu, perbincangan dengan insituti kewangan mengenai persiapan untuk kadar faedah negatif sedang dilakukan. Jawatankuasa polisi monetari bagaimanapun, kemudiannya menegaskan kembali bahawa kadar faedah semasa 0.25% akan dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga awal 2021.

RBNZ turut menyatakan kesediaan untuk menggunakan alat dasar monetari tambahan jika diperlukan, termasuk menurunkan kadar faedah, menambah jenis aset lain ke program LSAP dan memberikan kemudahan pinjaman berjangka kepada bank.

Susulan daripada kesediaan RBNZ untuk menurunkan kadar faedah kepada negatif, ia telah membenam dolar New Zealand lebih rendah berbanding US dolar dan matawang utama lain.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat