[Review] Ini Sebahagian Isu Utama Yang Menghiasi Pasaran Forex Sepanjang Tahun 2019

277

Pertikaian perdagangan Amerika Syarikat dan China telah mendominasi tahun 2019 sebagai pemacu utama buat pasaran kewangan sementara keputusan Federal Reserve AS (Fed), perkembangan Brexit dan isu politik turut menjadi perhatian.

Tahun 2019 dikatakan tahun terbaik buat dolar Kanada dan pound sterling serta mencabar bagi dolar euro. US dolar pula dilihat mencatat keuntungan pada 9 bulan pertama, sebelum kembali merosot pada penghujung September dipengaruhi oleh perang dagang dan keputusan Fed.

Perang dagang antara dua negara ekonomi gergasi dunia yang bersulamkan pengenaan tarif import antara satu sama lain telah memberi impak besar terhadap pertumbuhan global dan menjejaskan pasaran kewangan, terutama apabila rundingan yang diadakan sering menemui jalan buntu.

Kesepakatan akhirnya tercapai menjelang berakhirnya tahun 2019 di mana butiran mengenai perjanjian fasa 1 masih samar, manakala campur tangan AS dalam isu Hong Kong dan Xinjiang pula telah membangkitkan kemarahan China.

Kejutan keputusan Pengerusi Fed, Jerome Powell yang menurunkan kadar faedah pertama sejak 2008 pada Julai telah mencetuskan pelbagai reaksi dari pasaran. Rentetan pemotongan kadar faedah sebanyak tiga kali pada tahun ini, Fed mula menunjukkan isyarat untuk menahan daripada sebarang perubahan dalam dasar monetari pada 2020.

Pelonggaran dasar monetari bukan sahaja menjadi pilihan The Fed, bahkan Reserve Bank of Australia dan New Zealand juga mengurangkan kadar faedah mereka manakala Bank Pusat Eropah menurunkan kadar deposit dan memulakan kembali Quantitative Easing.

Bank Pusat Kanada, England, Jepun dan Switzerland pula kekal daripada membuat sebarang perubahan dalam dasar monetari mereka. Ini jelas menunjukkan kenapa dolar Kanada dan pound Sterling menjadi matawang terbaik tahun ini.

Sementara itu, keuntungan yang diraih yen Jepun berbanding USD menjelang dagangan akhir tahun sekali lagi membuktikan bahawa matawang itu berpotensi untuk diniagakan tinggi pada awal tahun 2020, seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Bagi dagangan tahun 2020, antara faktor utama yang menjadi perhatian pasaran adalah hubungan perdagangan AS dan China, khususnya perjanjian fasa 1 bakal ditandatangani pada Januari serta bermulanya perjanjian fasa kedua yang pasti akan menimbulkan lebih banyak ketidakpastian di kalangan pasaran.

Seterusnya, perhatian juga tertumpu pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 3 November. Dalam pada itu, perbicaraan di peringkat Senat dijangka akan diadakan pada Januari bakal menentukan nasib Presiden Donald Trump sama ada jawatannya akan dilucutkan atau sebaliknya.

Setelah menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah sepanjang tahun ini, perkembangan Brexit akan terus menjadi tumpuan pasaran di mana ia akan berakhir pada 31 Januari 2020 dan terus berada di bawah peraturan Kesatuan Eropah (EU) sehingga tamatnya tempoh peralihan pada 31 Disember 2020.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat