Ringgit Dibuka Rendah Lagi, Jangkaan Inflasi AS Tak Goyahkan USD

33

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan dolar AS masih kekal dinilai stabil di saat terdapat laporan mengenai jangkaan inflasi yang lebih tinggi menjelang pengumuman data penting AS.

Tepat 9 pagi tadi, ringgit merosot kepada 4.7310/7350 daripada 4.7270/7320 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) berlegar sekitar 105 mata selepas tinjauan Federal Reserve (Fed) memaparkan harga pengguna dijangka meningkat sebanyak 3.3% tahun depan selepas kekal 3.0% dalam tempoh empat bulan lepas.

Buat masa ini, data mengenai inflasi akan dipantau dengan teliti oleh peserta pasaran khususnya pada laporan Indeks Harga Pengeluar (IHP) bagi bulan April yang akan dikeluarkan pada malam ini.

Katanya lagi, IHP utama dijangka meningkat kepada 2.2% daripada 2.1% pada bulan lepas. Manakala, IHP Teras pula diunjurkan menyederhana sedikit kepada 2.3% daripada 2.4% sebelum ini.

Oleh itu, ringgit dijangka didagangkan secara berhati-hati hari ini kerana para pelabur akan terus memantau data inflasi.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun, meningkat kepada 3.0267/0296 daripada 3.0325/0359 ketika ditutup pada Isnin.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.9407/9457 daripada 5.9215/9278 dan berkurangan berbanding euro kepada 5.1038/1081 daripada 5.0967/1020 sebelumnya.

Ringgit melonjak berbanding mata wang Asean.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4951/4983 daripada 3.4919/4959 semalam dan menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.8521/8672 daripada 12.8388/8583.

Unit tempatan juga rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 294.1/294.5 daripada 293.9/294.4 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 berbanding 8.17/8.18 sebelumnya. – Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat