Ringgit Diramalkan Bergerak Hambar, Sekitar RM4.70 Sepanjang Minggu

111

Ringgit dijangka akan diniagakan sekitar paras 4.69 hingga 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat pada minggu ini di saat pasaran menumpukan perhatian terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS untuk Mac.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bank pusat Jepun iaitu Bank of Japan (BoJ) akan mengadakan mesyuarat dasar monetarinya esok (Selasa) sebelum FOMC berlangsung.

Pasaran akan memantau secara teliti sebarang keputusan oleh bank pusat Jepun termasuk kemungkinan BoJ menamatkan dasar kadar faedah negatif (NIRP) dan kawalan lengkung hasil (YCC) berikutan persetujuan syarikat-syarikat besar Jepun menaikkan gaji sebanyak 5.28 peratus bagi 2024 yang dilihat boleh meningkatkan lagi kadar inflasi.

Katanya lagi, Federal Reserve AS akan menumpukan aspek kritikal Fed Dot Plot yang juga merupakan tinjauan dalam kalangan ahli anggota bank pusat itu mengenai Kadar Dana Fed.

Pada Disember lepas, kalangan kakitangan Fed mengunjurkan pengurangan kadar faedah sebanyak tiga peratus pada tahun ini.

Sebarang penolakan terhadap tahap dasar akomodatif akan meningkatkan nilai dolar AS dan mendorong ringgit bakal diniagakan sekitar RM4.69 hingga RM4.70 pada minggu ini.

Kini, ringgit berada pada paras 4.7020 berbanding dolar AS daripada ia ditutup sekitar 4.6840 pada minggu lepas.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama, termasuk meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1637/1669 daripada 3.1821/1850 pada minggu lalu.

Ia juga mengukuh berbanding pound Britain kepada 6.0003/0060 daripada 6.0050/0101 namun rendah berbanding euro pada 5.1275/1324 daripada 5.1188/1231 sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Unit tempatan itu mengukuh pada 13.1480/1661 berbanding baht Thailand daripada 13.2134/2321 pada Jumaat lalu, namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5183/5219 daripada 3.5160/5192.

Ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.0 daripada 300.2/300.6 pada Jumaat lalu dan susut berbanding peso Filipina pada 8.47/8.48 daripada 8.42/8.43 minggu lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat